Ahli Bersatu perlu fikir tentang parti, bukannya diri sendiri, kata Dr Mahathir


Noel Achariam

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada majlis makan malam Fundraising Armada Nasional 2019 di Shah Alam malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 2 Disember, 2019.

PEMIMPIN kanan Bersatu perlu memikirkan parti dan bukan hanya mengenai kedudukan mereka dalam parti, kata Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Bersatu itu berkata, mereka lebih berminat dengan nasib dalam parti dan cara mengekalkan kedudukan sehingga tidak ada cabaran daripada yang lain.

“Ahli lama tidak ramai dan oleh itu tidak banyak persaingan (untuk jawatan mereka).

“Seperti yang kita dapat lihat di PRK Tanjung Piai dan PRK Semenyih, kita kalah sebab ada ahli yang terhad dan tak ramai (ahli senior) yang dapat membantu,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Fundraising Armada Nasional 2019 di Shah Alam malam tadi.

Dr Mahathir berkata jika mereka fikir bahawa parti itu adalah tempat untuk mencapai matlamat peribadi maka parti itu akan gagal.

“Apabila kita terlibat dalam politik, kita berjuang untuk parti dan bukan diri sendiri. Jika kita tidak berjuang untuk parti, maka kita akan kalah. Saya harap ini (sikap) akan berubah,” katanya. 

Pada PRK Tanjung Piai 16 November lalu calon Barisan Nasional Wee Jeck Seng telah menang dengan majoriti 15,086 undi, 22% lebih banyak daripada 20,731 undi yang diterima pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lalu apabila beliau kalah kepada calon Pakatan Harapan Dr Md Farid Md Rafik daripada Bersatu.

Dr Mahathir kemudian memuji Armada sayap pemuda.

“Bagi generasi muda, tentu saja mempunyai cita-cita terbaik untuk menjalankan aktiviti yang akan membawa kebaikan kepada parti.

“Mereka akan berusaha keras walaupun tidak mencapai sebanyak mungkin tetapi mereka akan cuba,” katanya.

Beliau berkata jika parti itu berjaya maka semua orang akan berjaya.

“Kerana parti ini boleh menubuhkan kerajaan baik yang dapat memenuhi semua janji.

“Ini yang kami cuba lakukan. Kami berjaya kerana kami berjuang untuk sesuatu yang baik,” katanya. – 2 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen