MENTERI Pertahanan Mohamad Sabu mahu kerajaan memperuntukkan dana sebanyak 1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada kementeriannya dalam usaha meningkatkan aspek keselamatan negara.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata peruntukan tersebut hendaklah termasuk dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan RMK13 yang dirangka sebelum ini.
“Kita mahu sekurang-kurangnya peruntukan 1% daripada KDNK setiap tahun. Tetapi dalam RMK12 dan RMK13 yang sudah rangka dalam, kita akan minta lebih lagi.
“Kita akan minta dan tadi pun dalam Dewan pun disokong oleh pembangkang juga,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen selepas mengulung Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.
KPP yang dibentangkan hari ini merupakan dasar baharu pertahanan negara yang menetapkan hala tuju kerajaan dalam melindungi kepentingan negara bagi tempoh 10 tahun iaitu dari 2021 hingga 2030 yang merangkumi RMK12 dan RMK13.
KPP juga bertujuan mengkaji semula persekitaran strategik keselamatan semasa, di samping meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan ATM agar mampu untuk melindungi dan mempertahan negara pada sebilang masa.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong berkata kementerian turut akan memberi perhatian terhadap kebajikan pesara tentera dalam menyedia peluang karier kedua.
Jelasnya, adalah penting untuk kerajaan, swasta dan masyarakat menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka memandangkan usia masih muda ketika menamatkan perkhidmatan di samping mengekalkan pemberian pencen.
“Dahulu kita tumpu hanya kebajikan veteran tetapi hala tuju masa depan selain kebajikan juga sangat penting untuk juga diberi peluang karier kedua.
“Pengalaman mereka dapat disumbang kepada ekonomi kita. Pencen adalah sebahagian daripada kebajikan teras yang akan dikekalkan tetapi terdapat pegawai berpangkat lain yang bersara pada umur 42 hingga 44 tahun,” katanya.
Selain itu, Liew berkata kementerian juga akan menubuhkan Jawatankuasa Pelaburan Pertahanan yang dipengerusi oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Tujuannya ialah pelaburan dalam industri pertahanan. Sebenarnya tidak boleh fokus terhadap Kementerian Pertahanan sahaja kerana kita juga mempunyai agensi keselamatan lain.
“Apa yang akan diusahakan ialah memang ada agensi lain juga diperlukan dalam memikirkan dari segi pelaburan dan industri pertahanan, dan bukan sahaja hanya menjual kepada Mindef sahaja,” ujarnya. – 2 Disember, 2019.
Komen