KERAJAAN Pulau Pinang sekali lagi didesak untuk menghadkan “projek khas” atas bukit kepada kemudahan awam.
Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA) berkata terma garis panduan “projek khas” pada 2009 yang diikuti pihak berkuasa harus disemak atau ditakrif semula.
“Bagi menghormati polisi dalam Struktur Pelan Pulau Pinang berkaitan tanah bukit, kerajaan negeri mesti menyemak atau mentakrif semula apakah “projek khas” dalam garis panduan 2009 bagi menghalang sebarang pembangunan di atas bukit pada masa depan kecuali untuk kemudahan awam.
“Ia juga mesti berhenti meluluskan sebarang permohonan lanjut bagi mengetepikan status “tanah bukit” daripada Akta Pemuliharaan Tanah 1960,” kata Pengerusi TBRA Meenakshi Raman dalam satu kenyataan hari ini.
Isu “projek khas” di atas bukit melebihi 76m atas paras laut dan kecerunan melebihi 25 darjah timbul selepas kejadian tanah runtuh di Tanjung bUngah yang mengorbankan 11 nyawa.
Walaupun tanah runtuh terjadi di tapak pembinaan di atas tanah rata, ia terletak berhampiran dengan bukit dan kuari melahirkan kebimbangan terhadap pembangunan bukit di Pulau Pinang.
Kebimbangan itu menyebabkan pemimpin-pemimpin kerajaan negeri menegaskan yang sebarang projek atas bukit melebihi 76m dan kecerunan melebihi 25 darjah tidak akan dibenarkan spserti yang dinyatakan dalam Pelan Struktur Pulau Pinang.
Langkah itu disambut baik TBRA tetapi berkata terdapat satu projek atas bukit di Sunagi Ara yang telah diluluskan di bawah pentadbiran kerajaan negeri sekarang walaupun mendapat bantahan kuat dari penduduk.
Menurut persatuan itu, penduduk bingung bagaimana Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) meluluskan pembinaan pangsapuri 600 tingkat dan unit-unit banglo di atas 32.4ha melebihi 76m pada 2012.
“Kira-kira 43% daripada cerun-cerun di sana melebihi 25 darjah.
“Malahan, kami terkejut apabila mendapati pada 2011 pihak berkuasa negeri meluluskan permohonan pemaju untuk menghapuskan status “tanah bukit” di bawah Akta Pemuliharaan Tanah 1960.
“Ini bertentangan dengan pendirian kerajaan untuk memelihara tanah bukit,” katanya.
Dilaporkan bahawa MBPP telah menggunakan garis panduan 2009 untuk “projek khas” untuk meluluskan projek di Sungai Ara olepemaju Sunway Citu (Penang) Sdn Bhd.
Penduduk di Sungai Ara mengusulkan bantahan kepada Lembaga Rayuan Negeri dan memenangi kes selepas lembaga itu mendapati majlis MBPP gagal memberikan pertimbangan yang betul serta mencukupi kepada Pelan Struktur Pulau Pinang.
Bagaimanapun, penduduk kemudian kalah apabila pemaju mencabar keputusan Lembaga Rayuan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Kes itu masih menunggu pendengarannya di Mahkamah Rayuan di Putrajaya bulan depan.– 27 Oktober, 2017.
Komen