-signpost-budget_2018.jpg)
SEBAGAI menyanjung tinggi sifat wala’ dan kesetiaan penjawat awam, Perdana Menteri Najib Razak hari ini mengumumkan bayaran khas RM1,500 kepada semua penjawat awam.
Menerusi Bajet 2018, bayaran itu akan diberikan dua kali, iaitu RM1,000 pada awal Januari 2018, dan RM500 lagi menjelang Hari Raya Aidil Fitri tahun hadapan.
“Manakala tidak pernah dilupakan, kepada pesara kerajaan, bayaran khas RM750, iaitu RM500 dibayar pada Januari 2018, dan RM250 lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Selain itu, penjawat awam turut menerima 12 imbuhan menerusi Bajet 2018 yang dibentangkan sebentar tadi termasuk penjawat awam wanita mengandung lima bulan ke atas dibenarkan pulang lebih awal sejam.
Selain itu, kerajaan bermula 1 Januari, 2018 akan melaksanakan kenaikan pangkat time based kali kedua bagi kumpulan pelaksana – penjawat awam untuk tempoh 13 tahun selepas kenaikan kali pertama.
Penjawat awam bersara awal atas sebab kesihatan juga bakal terima faedah persaraan sama seperti pegawai berkhidmat.
Terdahulu, perdana menteri dijangka membentangkan bajet untuk 2018 dengan lebih banyak program rangsangan bagi lonjakan pertumbuhan dan pelbagai imbuhan dengan tujuan meningkatkan sokongan menjelang pilihan raya umum, yang perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan.
Bajet 2018 bertemakan “Memakmur ekonomi yang inklusif, mengimbang keunggulan duniawi dan ukhrawi demi mensejahtera kehidupan rakyat, menuju TN50”.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, tiba di perkarangan Dewan Rakyat kira-kira 3.10 petang dengan memakai baju Melayu berwarna biru.
Sejurus tiba, perdana menteri menuju ke pejabatnya di Aras 2, Bangunan Parlimen untuk membuat persiapan terakhir dan mengaminkan doa yang dibacakan Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya Datuk Abdul Manaf Mat.
Beliau kemudian berjalan sambil memegang beg berwarna hitam yang mengandungi dokumen Bajet 2018 menuju ke Dewan Rakyat.
Ini merupakan pembentangan bajet yang kesembilan bagi Najib selepas menjadi perdana menteri pada April 2009.
Bajet untuk 2017, sebelum bajet tambahan, berjumlah RM262.8 bilion dan Najib yang juga menteri kewangan berkata defisit Bajet 2018 akan rendah sedikit berbanding 3% tahun ini dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Pakar ekonomi menjangkakan sasaran defisit fiskal bawah sedikit 3%.
Dengan wakil rakyat pembangkang bercakap mengenai rakyat yang tidak berpuas hati mengenai kenaikan kos sara hidup, Najib dijangka menangani sentimen itu menjelang pilihan raya menerusi kemungkinan bonus untuk penjawat awam, kenaikan bayaran BR1M dan subsidi.
Najib juga mungkin menyentuh mengenai pengukuhan ringgit, iaitu 6% berbanding dolar tahun ini, sebagai petunjuk daya tahan ekonomi.
The Malaysian Insight membawakan kepada anda apa yang menarik tentang Bajet 2018 yang dibentangkan:
* Kenaikan pangkat time based kali kedua bagi kumpulan pelaksana – penjawat awam untuk tempoh 13 tahun selepas kenaikan kali pertama.
* Penjawat awam bersara awal atas sebab kesihatan bakal terima faedah persaraan sama seperti pegawai berkhidmat.
* Penjawat awam wanita mengandung lima bulan ke atas dibenarkan pulang lebih awal sejam.
* Suami juga dibenarkan pulang lebih awal dengan syarat suami dan isteri bekerja di lokasi berdekatan.
* Membenarkan Gantian Cuti Rehat melebihi 150 hari digunakan sebagai cuti rehat pada tahun persaraan.
* Kerajaan buat pertama kalinya bersetuju memberikan kemudahan tujuh hari cuti tanpa rekod sepanjang tempoh perkhidmatan bagi menunaikan umrah.
* Untuk memberi fleksibiliti, Kerajaan akan menambah satu lagi Waktu Kerja Berperingkat iaitu bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.
* Meningkatkan kelayakan cuti bersalin daripada 300 hari kepada kepada 360 hari sepanjang perkhidmatan, tertakluk kepada maksimum 90 hari setahun.
* Kebenaran pembiayaan perumahan bersama atau joint- loan daripada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Swasta Awam (LPSSA) kepada penjawat awam.
* Elaun warga emas dinaikkan RM50 kepada RM350 sebulan.
* RM1.7 bilion peruntukan bantuan kepada warga emas, OKU dan kanak- kanak.
* Bagi Program Pembangunan Lestari, RM5 bilion disalurkan di bawah skim Pembiayaan Teknologi Hijau, RM1.4 bilion program non-revenue Water, RM517 juta untuk rancangan tebatan banjir di seluruh negara.
* Semua pembekalan perkhidmatan oleh PBT tidak dikenakan GST, berkuatkuasa mulai 1 April 2018 atau 1 Oktober 2018 berdasarkan pilihan PBT.
* Layanan GST berkadar sifar ke atas bahan bacaan, diseragam dan diperluaskan meliputi semua jenis majalah, komik, jurnal dan terbitan berkala mulai 1 Januari 2018.
* Operator kapal persiaran diberi pelepasan GST ke atas perkhidmatan pengendalian yang dibekalkan oleh operator pelabuhan di Malaysia. Pelepasan ini bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020.
* Pelepasan GST sepenuhnya diberi ke atas perkhidmatan pembinaan bangunan sekolah dan rumah ibadat, yang dibiayai melalui sumbangan derma. Pelepasan ini berkuat kuasa bagi kontrak perkhidmatan pembinaan yang ditandatangani mulai 1 April 2017.
* Pelepasan GST diberi ke atas pengimportan peralatan berkaitan industri minyak dan gas di bawah satu perjanjian pajakan, dibekalkan oleh syarikat yang berada di Kawasan Ditetapkan iaitu Labuan, Langkawi dan Tioman kepada pelanggan di Malaysia, mulai 1 Januari 2018.
* Pelepasan GST diberi ke atas pengimportan big ticket items, seperti kapal terbang dan kapal laut, oleh syarikat penerbangan dan perkapalan yang berdaftar di Malaysia.
* Pelepasan GST turut diberikan kepada syarikat di dalam industri minyak dan gas yang mengimport pelantar minyak atau struktur terapung. Langkah ini bermula 1 Januari 2018.
* Mulai 2018, pesakit berdaftar hanya membayar RM10 bagi setiap sesi rawatan.
* Peruntukan RM27 bilion untuk kesihatan.
* RM27 bilion bajet kesihatan meliputi RM2.5 bilion bagi bekalan ubat dan RM1.6 bilion untuk barangan consumable dan sokongan perubatan.
* Mulai 1 Januari 2018, kerajaan bersetuju memansuhkan kutipan tol di Batu Tiga, Shah Alam dan Sungai Rasau di Selangor; kutipan tol di Bukit Kayu Hitam, Kedah; dan kutipan tol di Eastern Dispersal Link, Johor.
* Peruntukan RM3.9 bilion subsidi barangan dan pengangkutan termasuk gas memasak, tepung, minyak masak, subsidi elektrik dan tol.
* 50 Kedai Rakyat 1Malaysia akan distruktur semula sebagai Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0 dan diperluaskan kepada 3,000 KR1M 2.0 dalam tempoh tiga tahun.
* Kerajaan beri pilihan kepada majikan untuk ambil pembantu rumah asing secara langsung daripada 9 negara sumber tanpa melalui ejen.
* Kerajaan akan meningkatkan sumbangan terhadap caruman kepada 15% tertakluk dengan kadar maksimum RM250 sehari dalam Skim Persaraan 1Malaysia. Sumbangan akan bermula dari 2018 hingga 2022 dengan kumpulan sasar mereka bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap.
* Pemberian BR1M diteruskan dengan kadar sama RM1,200 beri manfaat 7 juta penerima.
* Banjaran Pendapatan Bercukai daripada RM20,001 sehingga RM35,00 kadar diturunkan kepada 5% kepada 3%.
* RM3.9 bilion bagi subsidi barangan dan pengangkutan termasuk gas memasak, tepung, minyak masak subsidi elektrik dan tol.
* RM100 juta untuk memperluas Program eRezeki, eUsahawan dan eLadang di bawah MDEC.
* Menyediakan pinjaman mudah sebanyak RM120 juta kepada 1,000 usahawan Food Truck 1Malaysia dan Mobile Food Kiosk 1Malaysia melalui Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional, dengan kerajaan memberi subsidi kadar faedah 4%.
* RM60 juta untuk program 1AZAM, termasuk RM10 juta untuk Sabah dan RM10 juta untuk Sarawak.
* RM25 juta untuk Program Motosikal Tiga Roda di bawah FAMA, program mobilepreneur GiatMara, dan program MyAGROSIS.
* PNB membuat pengagihan khas sejumlah RM1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia untuk masyarakat India, terhad kepada 30,000 unit setiap pelabur.
* Bantuan sebanyak RM3,000 kepada ibu bapa masyarakat Orang Asli sebagai perbelanjaan persediaan anak-anak mereka memasuki institusi pengajian tinggi.
* Kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara RM20,000 hingga RM70,000.
* RM2.5 bilion diberi untuk biasiswa pengajian tinggi dan latihan di bawah MARA, memanfaatkan hampir 90,000 pelajar.
* RM2.4 bilion diperuntukkan kepada UiTM. Penambahan bilangan kemasukan pelajar di UiTM disasarkan menjelang 2020.
* Peruntukan RM250 juta kepada Esscom bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan Sabah dan Sarawak.
* Peruntukan RM14 bilion untuk Angkatan Tentera Malaysia, hampir RM9 bilion untuk Polis Diraja Malaysia dan lebih RM900 juta kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
* Peruntukan RM3 bilion untuk pembelian dan penyelenggaraan aset pertahanan.
* Peruntukan RM720 juta bagi pembinaan 11,000 ibu pejabat dan enam balai polis serta pembelian kelengkapan senjata api dan kenderaan operasi.
* Kerajaan akan sediakan blueprint Perumahan Keluarga Angkatan Tentera untuk bina lebih 40,000 unit secara berfasa dalam menjaga kebajikan tentera.
* Peruntukan paling tinggi disediakan kerajaan untuk Rela dengan peruntukan, hampir RM250 juta bagi kelengkapan keperluan, termasuk pakaian seragam.
* 10,000 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia-PDRM akan dibina, harga sesuai dengan tangga gaji anggota bertujuan menjaga kebajikan polis.
* Peruntukan lebih RM14 bilion untuk Angkatan Tentera Malaysia, hampir RM9 bilion untuk polis dan lebih RM900 juta kepada APMM.
* Hampir RM200 juta lagi diperuntukkan kepada Felda, bagi sistem bekalan air dan menaik taraf jalan serta lampu jalan.
* Peruntukan RM164 juta bagi membina 5,000 unit Rumah Generasi Kedua Felda, dengan kerjasama SPNB.
* Kerajaan akan kembali wang skim bantuan tanam semula getah (SES) yang dibayar peneroka getah yang buat tanaman semula kelapa sawit 2010-2016, memberi manfaat kepada 8, 925 peneroka Felda.
* RM420 juta termasuk hampir RM300 juta untuk Sabah dan Sarawak, disediakan kerajaan bagi bekalan air bersih meliputi 3,000 rumah.
* RM1.1bilion untuk projek mesra rakyat seperti menaik taraf jambatan, lampu jalan kampung, surau serta pasar di Sabah dan Sarawak.
* RM200 juta ditambah menaikkan jumlah pinjaman maksimum PTPTN bagi pelajar dari keluarga B40 yang ikuti kursus kebolehpasaran tinggi.
* Peminjam PTPTN dibenarkan gabung pinjaman dan buat bayaran balik selepas tamat pengajian bagi mereka yang ingin sambung pelajaran.
* Tempoh “grace period” pembayaran balik pinjaman PTPTN dilanjutkan kepada 12 bulan setelah tamat pengajian berbanding 6 bulan ketika ini.
* Bantuan persekolahan RM100 seorang kepada murid sekolah berpendapatan rendah diteruskan dengan peruntukan RM328 juta.
* RM2.9 bilion pula diperuntukkan bagi bantuan makanan, buku teks, geran kapita dan biasiswa kecil persekutuan.
* Kerajaan mengumumkan peruntukan terbesar sejumlah RM2.5 bilion bagi tempoh 2 tahun melalui kaedah Industrial Building System bagi memperbaiki bangunan sekolah yang daif.
* RM1 bilion peruntukan bagi inisiatif meliputi FitMalaysia, Hari Sukan Negara, latihan atlet, program akar umbi dan program pembangunan bola sepak negara.
* Bantuan Baucar Buku bernilai RM250 diteruskan memberi manfaat kepada 1.2 juta pelajar.
* Pemberian RM2.2 bilion biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan.
* Skim yang pertama kali diperkenalkan di negara ini akan dinamakan sebagai Amanah Dana Anak Malaysia 2050.
* Kerajaan memperkenalkan Dana Tabungan Permulaan sebanyak RM200 melalui unit Amanah Saham kepada setiap anak Malaysia yang dilahirkan bermula 1 Januari 2018-2022.
* RM1bilion peruntukan akan disediakan pelabur institusi untuk pelaburan venture capital dalam sektor keutamaan terpilih yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Sekuriti.
* Pihak Berkuasa Tempatan perlu mewajibkan semua bangunan pejabat yang baharu supaya menyediakan kemudahan pusat jagaan kanak-kanak, bermula di Kuala Lumpur.
* RM95 juta diperuntukkan bagi pembaikan dan pembinaan jeti serta pengerukan kuala sungai.
* RM55 juta subsidi pengangkutan perkhidmatan kereta api luar bandar, dari Tumpat ke Gua Musang diperuntukkan.
* Kerajaan akan naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
* Membina lapangan terbang Mukah yang baharu dan pembesaran Lapangan terbang Kota Bharu dan Sandakan.
* Kerajaan akan mempercepatkan pembinaan MRT3 atau Circle Line, dijangka siap pada 2025, lebih awal berbanding 2027.
* RM1bilion diperuntukkan kepada Tabung Pengangkutan Awam bagi modal kerja dan pembelian aset seperti bas dan teksi.
* Kerajaan akan memperluaskan hab serantau eVisa bagi memudahkan permohonan di seluruh dunia terutama kepada ekspatriat, pelajar asing dan Malaysia My Second Home.
* Kerajaan peruntuk RM30 juta kepada Malaysian Healthcare Travel Council.
* Hampir RM140 juta akan diperuntukan bagi program pembangunan dan penanaman semula kelapa sawit termasuk promosi.
* Kerajaan akan beri bantuan RM200 sebulan bagi tempoh 3 bulan sementara menunggu hasil tuaian padi dengan peruntukan hampir RM150 juta kepada pesawah padi.
* Manakala peruntukan RM2.3 bilion bagi bantuan dan insentif seperti baja dan input pengeluaran kepada pesawah, pekebun kecil getah dan nelayan.
* Peruntukan RM500 juta bagi menambah baik infrastruktur pengairan di kawasan pertanian dan menaik taraf jalan ladang.
* Peruntukan RM80 juta bawah Skim Pembiayaan Ekonomi Desa melalui Bank Rakyat dan Bank SME bagi kemudahan pembiayaan kepada usahawan Bumiputera luar bandar.
* Peruntukan terbesar RM6.5 bilion kepada pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak, penoreh getah.
* Peruntukan RM500 juta kepada Tekun bukti kerajaan tidak melupakan usahawan mikro.
* Peruntukan RM1bilion dengan pinjaman 70% jaminan kerajaan bawah SJPP untuk mengautomasikan proses pengeluaran dan kurangkan penggajian pekerja asing.
* Pelaburan swasta dijangka mencecah RM260 bilion pada 2018, sejajar matlamat kerajaan jadikan sektor swasta sebagai engine of growth.
* Jumlah pelaburan dalam negara dijangka meningkat 6.7%.
* RM234.25 bilion diperuntuk bagi perbelanjaan mengurus manakala RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
* Kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dijangka mencecah RM239.86 bilion bagi tahun 2018.
* Najib berkata bajet kali ini dianggap paling penting kerana ia merupakan rumusan kepada prakarsa yang memacu negara semenjak beliau menjadi PM pada 2009.
* Peruntukan bagi Bajet 2018 ialah RM280.25 bilion, iaitu pertambahan berbanding RM260.8 bilion pada 2017.
* Sebanyak RM234.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, RM46 bilion perbelanjaan pembangunan dan ia tidak termasuk simpanan luar jangka.
* RM79.15 bilion emolumen, RM33.62 bilion perkhidmatan dan bekalan.
* Pendapatan per kapita rakyat dijangka mencapai RM42,777 menjelang 2018 berbanding RM40,713 kini.
* Defisit fiskal terus berkurangan kepada 2.8% pada 2018 berbanding 3% pada 2017.
Komen