Pendapatan isi rumah Selangor lebih cepat berbanding purata kebangsaan, kata dekan


Gan Pei Ling

Ini menunjukkan program Peduli Rakyat yang menumpukan rakyat membuahkan hasil, kata dekan jabatan perniagaan di Unisel, Dr Mohd Faiz Abdullah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 Oktober, 2017.

PROGRAM-program kebajikan negeri Selangor membantu meningkatkan pendapatan isi rumah dan mengurangkan ketidaksamaan pendapatan, kata dekan jabatan perniagaan di Unisel, Dr Mohd Faiz Abdullah.

“(Median pendapatan isi rumah) bagi tiga komuniti etnik utama berkembang lebih cepat daripada peringkat kebangsaan.

“Ini menunjukkan program Peduli Rakyat yang menumpukan rakyat membuahkan hasil,” kata Dr Faiz di forum perniagaan tentang prospek ekonomi bagi 2018 di Subang hari ini.

Di Selangor, kaum Cina merupakan kumpulan etnik dengan median pendapatan isi rumah tertinggi pada RM9,290 pada 2016 berbanding RM8,033 pada 2014.

Ini diikuti Melayu yang median pendapatan isi rumah meningkat dari RM5,776 hingga RM6,784; India dari RM5,215 hingga RM6,457 antara 2014 hingga 2016.

Peningkatan median pendapatan isi rumah kebangsaan ketiga-tiga kumpulan etnik ialah RM4,214 kepada RM4,846 bagi Melayu, RM5,708 kepada RM6,582 bagi Cina dan RM4,627 kepada RM5,428 bagi India dari 2014 hingga 2016.

Menurut data dari Jabatan Perangkaan Malaysia, Pekali Gini keseluruhan Selangor yang mengukur ketidaksamaan pendapatan dalam populasi, jatuh dari 0.379 kepada 0.372.

Median pendapatan isi rumah bagi keluarga bandar di Selangor meningkat daripada RM6,484 kepada RM7,443. Bagi keluarga di luar bandar pula meningkat dari RM4,03 kepada RM5,119.

Inisiatif Peduli Rakyat termasuk program-program kebajikan dan bantuan kewangan yang disasarkan kepada 40% keluarga berpendapatan terendah, pekerja-pekerja estet, wanita dan kanak-kanak yang diperkenalkan sejak Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor pada 2008.

Disember lalu, Selangor melancarkan pelan induknya untuk menjadi “negeri pintar” menjelang 2025.

Ketua Eksekutif Menteri Besar Incorporated Raja Shahreen Raja Othman berkata pelan tindakan itu disediakan selepas merujuk kepada kesemua 12 majlis tempatan dan rakyat negeri itu.

Kata beliau, pentadbiran negeri menumpukan usaha menangani kebimbangan orang ramai dengan pelan pembangunan negeri. – 27 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen