KERTAS Putih Pertahanan (KPP) akan menentukan hala tuju aspirasi pertahanan Malaysia bagi tempoh 10 tahun akan datang (2020-2030), kata Mohamad Sabu.
“Ia akan melindungi dan mempertahankan kepentingan negara,” kata menteri pertahanan itu ketika membentangkan KPP di Dewan Rakyat hari ini.
Ini kali pertama KPP dibentangkan untuk menetapkan keperluan pertahanan negara dan pelan induk hala tujunya.
“KPP selari dengan kedudukan Malaysia sebagai negara maritim di Asia Pasifik dan wilayah Lautan Hindi,” kata Mohamad.
“Pendudukan dan petenteraan atau militarization serta aktiviti lain oleh China di Laut China Selatan dan Amerika Syarikat (AS) serta kuasa-kuasa lain, mengubah isu perebutan wilayah kepada persaingan kuasa-kuasa besar dunia.
“Pencerobohan kapal kerajaan kuasa besar di luar pesisir Sabah dan Sarawak jelas bertentangan dengan hak kedaulatan negara di Zon Ekonomi Eksklusif di Laut China Selatan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang antarabangsa.”
Mohamad berkata perselisihan Rusia-Barat dan konflik Afghanistan, Syria, Yaman dan beberapa negara lain di rantau Asia Barat dan Afrika menjadi bertambah tegang.
Katanya, ketegangan hubungan AS dengan Iran juga semakin memuncak. Peningkatan penjajaran kepentingan Rusia, Iran dan Turki mengubah landskap geopolitik Eurasia.
Peristiwa geopolitik lain membentuk semula jalinan keselamatan dan kesalinghubungan ekonomi yang merentasi rantau Asia Tengah dan Asia Selatan, tambahnya.
“Berdasarkan penilaian ke atas landskap keselamatan serantau dan global, Malaysia perlu mempertahankan kepentingannya menerusi penerokaan strategi jangka panjang yang proaktif.
“Strategi ini melibatkan elemen pertahanan sebagai komponen utama dan menyokong perkongsian kemakmuran, perkongsian keselamatan dan perkongsian identiti di peringkat kebangsaan dan serantau,” kata Mohamad.
KPP itu mengandungi lapan bab dan butiran berkenaan strategi Kementerian Pertahanan untuk pasukan tentera dan perlindungan negara sehingga 2030. – 2 Disember, 2019.
Komen