PEMBELI lot kedai optimistik dengan projek pembangunan Plaza Rakyat yang akhirnya akan dimulakan semula selepas terbengkalai lebih 20 tahun.
Mereka lega selepas Kementerian Wilayah Persekutuan mengumumkan ia akan membangunkan semula projek pembangunan campuran itu.
Bagaimanapun, mereka berharap tidak dilupakan dan berhasrat untuk bertemu dengan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad bagi menyelesaikan status urus niaga asal mereka ketika membeli unit di situ.
Jurucakap Jawatankuasa pro tem Plaza Rakyat Ng Pang Wah berkata mereka belum menerima maklumat walaupun beberapa kali menghubungi kementerian.
“Kami gembira bila dapat tahu menteri akan menghidupkan semula projek itu.
“Kami optimistik dan tidak sabar untuk bertemu menteri untuk mencapai penyelesaian dengan cara baik berkenaan isu ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Bulan lalu, Khalid berkata dua projek terbengkalai di Kuala Lumpur, iaitu Plaza Rakyat dan Hotel Hyatt, akan dibangunan semula.
Beliau berkata Plaza Rakyat di Jalan Pudu akan dibina oleh pemaju baharu, dengan perintah pembangunan dikeluarkan hujung tahun ini selepas beberapa caj dikenakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selesai.
The Malaysian Insight melaporkan 19 pemilik lot mendesak mereka dikenakan harga sama untuk unit mereka, seperti dinyatakan dalam perjanjian jual beli yang ditandatangani dua dekad lalu, apabila projek pembangunan itu dimulakan semula.
Peguam Manpal Singh Sacdev yang mewakili pembeli, berkata ia tanggungjawab Kementerian Wilayah Persekutuan untuk memenuhi perjanjian membabitkan pemilik lot Plaza Rakyat.
Katanya, DBKL sebagai pemilik tanah bertanggungjawab untuk mematuhi perjanjian jual beli.
Ng berkata selepas menunggu sebegitu lama, mereka gembira akhirnya projek itu akan dibangunkan.
Dilaporkan pada Mei bahawa Guangzhou Xu Zhuo Enterprise Management Co Ltd mencadangkan untuk membeli 43% pegangan dalam pemaju projek Profit Consortium Sdn Bhd, dan syarikat China itu dijangka membayar hutang tertunggak kepada DBKL dan memulakan kerja pembangunan Plaza Rakyat.
Projek itu membabitkan pembangunan campuran terdiri daripada 79 menara pejabat, kondominium 46 tingkat dan hotel 24 tingkat serta pusat beli-belah tujuh tingkat.
Ia terbengkalai pada 1998 akibat krisis kewangan Asia pada 1997. – 5 Disember, 2019.
Komen