14 terbunuh dalam serangan di gereja 


Operasi memburu dalang serangan berkenaan giat dijalankan oleh tentera Burkina Faso.– Gambar EPA, 2 Disember, 2019.

EMPAT belas orang terbunuh dalam serangan di sebuah gereja di timur Burkina Faso yang mana rumah ibadat sering menjadi sasaran serangan kumpulan militan, kata pegawai kerajaan.

“Lelaki bersenjata tidak dikenali” melakukan serangan pada Ahad di sebuah gereja di pekan Hantoukoura berhampiran sempadan Niger, menurut kenyataan kerajaan.

“Serangan berkenaan menyebabkan 14 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera,” katanya.

Tentera di wilayah itu kini giat menjalankan operasi bagi memburu dalang serangan itu, yang melarikan diri dengan menaiki skuter,” kata sumber pasukan keselamatan.

Negara Afrika yang miskin itu sering berdepan siri serangan yang mensasarkan penganut Kristian sejak Februari lalu.

Populasi penduduk di Burkina Faso terdiri daripada dua pertiga orang Islam dan satu pertiga penganut Kristian. – AFP, 2 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen