PEMUDA Umno dan PAS tidak mempunyai masalah untuk memberi peluang kepada pihak berkepentingan melontarkan pandangan tentang pengenalan pelajaran Jawi di sekolah jenis Tamil dan Cina.
Exco Pemuda Umno Bastien Onn memberitahu The Malaysian Insight bahawa Putrajaya tidak boleh memaksa pengajaran Jawi di sekolah vernakular serta perlu berunding dengan pihak berkepentingan sebelum melaksanakannya.
“Kerajaan harus mendengar kerana ia melibatkan cara dan kaedah pelaksanaannya. Penerangan juga harus dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya.
Beliau bersetuju dengan Ketua Pemuda MCA Nicole Wong yang dalam ucapannya pada persidangan agung MCA hari ini bahawa modul Jawi tidak seharusnya dimasukkan ke dalam buku teks Bahasa Malaysia secara paksa.
Jelas Nicole, pembelajaran tulisan Jawi seharusnya dilaksanakan hanya secara sukarela sebagai salah satu cabang seni di sekolah.
Nicole juga mendesak supaya lembaga sekolah turut dilibatkan untuk membuat memutuskan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina yang diarahkan bermula tahun depan.
“Saya melihat ianya satu permintaan yang wajar oleh Nicole untuk kerajaan membawa perkara ini ke meja rundingan dengan pemegang taruh terutamanya lembaga sekolah-sekolah Cina.”
Beliau juga bersetuju supaya pembelajaran Jawi dijadikan sebagai subjek alternatif dan diperluas lagi dengan subjek kaligrafi Cina di sekolah kebangsaan.
“Sebagaimana kita juga mengalu-alukan pengajaran tulisan kaligraphi Cina di sekolah kebangsaan sebagai ilmu elektif yang boleh dikuasai oleh bangsa-bangsa lain di Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin memberitahu The Malaysian Insight bahawa kerajaan perlu menyelesaikan isu itu dengan pemegang taruh sebelum melaksanakannya atau memberi murid sekolah vernakular membuat pilihan.
“Perkara-perkara sensitif boleh diselesaikan dengan kita kembali kepada kerangka perlembagaan,” katanya.
Malah kata Khairil, usaha ini perlu diperluaskan dalam pengajaran Bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah-sekolah kebangsaan.
“Kita juga menyeru agar diajar Bahasa Mandarin dan Tamil sebagai subjek pembelajaran tambahan, alternatif atau pilihan kepada para pelajar di sekolah-sekolah kebangsaan,” katanya.
“Pemuda PAS akan mulakan langkah dengan memperkenalkan pengajaran Bahasa Mandarin dan Tamil Komunikasi di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) yang terpilih di bawah naungan Dewan Pemuda PAS,” katanya.
Pada Ogos lalu, setelah penentangan sejumlah pihak, Kementerian Pendidikan memutuskan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina akan diteruskan tetapi hanya jika ia dipersetujui Persatuan Ibu bapa dan Guru, ibu bapa dan murid. – 1 Disember, 2019.
Komen