SURUHANJAYA siasatan terhadap tanah runtuh di Tanjung Bungah yang mengorbankan 11 nyawa pada Sabtu lepas mesti terbuka kepada orang awam untuk memastikan ketelusannya, kata persatuan penduduk hari ini.
Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA), yang kritikal terhadap pembangunan di kawasan berbukit, berkata pendengaran terbuka adalah demi kepentingan awam.
“Ia juga mesti membenarkan penyertaan penuh dan penglibatan semua pihak berkepentingan, termasuk TBRA,” kata pengerusi, Meenakshi Raman, dalam satu kenyataan hari ini.
Kerajaan Pulau Pinang pada Rabu mengumumkan siasatan ke atas kejadian yang berlaku di tapak projek pembinaan pangsapuri mampu milik setinggi 50 tingkat di Lorong Lembah Permai 3.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata suruhanjaya itu akan menentukan punca kegagalan cerunan sementara di tapak itu, meneliti prosedur kelulusan, sama ada prosedur mengikut aturan dan garis panduan diikuti, dan mencadangkan penambahbaikan.
Suruhanjaya juga akan mengkaji semula perkara-perkara berkaitan projek itu, seperti sama ada tapak itu adalah di tanah rata atau cerun bukit dan sama ada kuari berdekatan adalah antara sebab utama kegagalan cerun sementara atau jika ia kemalangan di tapak pembinaan.
Ia juga akan menentukan pihak bertanggungjawab bagi kegagalan cerun sementara dan dan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab.
Pemaju, Taman Sri Bunga, juga menjalankan siasatan sendiri terhadap kejadian tanah runtuh yang membunuh 10 pekerja asing dan seorang penyelia warga tempatan.
Meenakshi berkata adalah baik yang suruhanjaya akan juga menyiasat bagaimana projek apartmen itu diluluskan.
“Kami berharap ini juga termasuk, bukan setakat garis panduan yang berkaitan, tetapi juga undang-undang berkaitan kelulusan perancangan dan lain-lain, serta aspek pemantauan dan penguatkuasaan dengan tujuan untuk memperbaikinya.
“Ini juga mesti merangkumi semakan garis panduan mengenai ‘pembangunan tapak bukit 2012’, serta memastikan kapasiti mencukupi wujud pada pihak berkuasa berkaitan untuk memantau dan menguatkuasakan sebarang syarat yang dikenakan.”
Kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang mengatakan tanah runtuh itu sebagai kemalangan di tapak pembinaan.
Mereka juga berkata pembinaannya adalah di tanah rata, bukan di lereng bukit.
Mereka juga berkata walaupun Jabatan Alam Sekitar menolak memberi kebenaran rancangan pihak pemaju pada 2015 kerana projek itu berhampiran kuari, jarak antara keduanya melebihi keperluan jarak minimum jabatan.
Jabatan Mineral dan Geosains juga tidak membantah projek apartmen itu, kata mereka. – 27 Oktober, 2017.
Komen