Dilema ahli berusia, Pemuda MCA mula usaha kekal relevan


Khoo Gek San

Setakat 31 Mac lepas, sayap Pemuda MCA mempunyai 153,187 ahli di mana 96,147 berumur antara 36 hingga 40 tahun, manakala 19,398 berumur bawah 30 tahun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 29 November, 2019.

PEMUDA MCA berdepan dilema “umur” apabila sebilangan besar ahlinya kini berumur antara 36 hingga 40 tahun.

Setakat 31 Mac lepas, sayap Pemuda parti itu mempunyai 153,187 ahli di mana 96,147 berumur antara 36 hingga 40 tahun, manakala 19,398 berumur bawah 30 tahun.

Menjelang pilihan raya umum akan datang, sayap itu mungkin kehilangan sehingga 9,6147 ahli kerana batasan umur, sekaligus menimbulkan persoalan sama ada parti itu akan menemui barisan kepimpinan masa depannya.

Dalam usaha mengatasi masalah itu, MCA akan menurunkan had minimum ahli daripada 18 kepada 16 tahun selaras dengan penurunan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Bagaimanapun, pengkritik mendakwa parti itu menggunakan pelbagai gimik semata-mata untuk menarik orang muda termasuk memberikan insurans percuma.

Ketua Pemuda MCA Nicole Wong memberitahu The Malaysian Insight yang rancangan pemberian insurans percuma itu tidak lagi dilaksana, menambah yang ia mahu menarik ahli baharu berdasarkan konsep dan idea perjuangannya.

Wong berkata orang muda tidak sukakan ahli politik yang cuba mengelirukan mereka bagi meraih undi atau mendorong mereka masuk politik.

“Orang muda tidak berminat dengan MCA ketika jadi kerajaan. Tetapi, selepas jadi parti pembangkang pada 9 Mei 2018, kami percaya kami boleh tarik lebih ramai orang muda sertai,” tambahnya.

Media sosial juga adalah satu lagi platform untuk menarik orang muda menjadi ahli dan memastikan mereka mengetahui perkembangan terkini MCA, katanya.

Dengan penambahan lebih tujuh juta pengundi baharu menjelang 2023, Wong percaya lebih ramai orang muda akan menyertai parti politik.

Siew Shen Koe, perwakilan Pemuda Pusat dari Bahagian Sepang berkata walaupun ramai orang muda tidak berminat menyertai politik, teknologi memainkan peranan membawa sebilangan mereka masuk parti, apabila ramai memohon menjadi ahli selepas PRU14.

Manakala, perwakilan Pemuda Pusat dari Bahagian Puchong, Tan Jie Sen berkata 16 adalah umur yang tepat untuk memperkenalkan politik serta dinamik dan sistem parti.

“Mereka yang berusia 30 tahun sibuk bekerja dan buat duit. Jadi, 16 adalah umur ideal untuk memperkenalkan mereka dengan sistem parti,” katanya.

Lee Soon Tzong daripada Bahagian Pasir Gudang pula berkata parti tidak lagi boleh menggunakan pendekatan lama untuk menarik orang muda.

Sebaliknya, aktiviti seperti e-sukan perlu dilakukan untuk menarik perhatian mereka. – 1 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen