SPRM patut dakwa 2 ahli PKR yang dipecat jika ada bukti, kata Patriot


SPRM patut mendakwa dua ahli PKR yang dipecat kerana rasuah jika ada bukti kerana ia sudah menjadi isu kepentingan awam bukan lagi masalah dalaman parti, kata Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2019.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) patut mendakwa Zakaria Abdul Hamid dan Ismail Duhladi, dua ahli PKR yang dipecat baru-baru ini kerana rasuah sekiranya ada bukti kukuh terhadap mereka, kata Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji.

Mengulas isu yang menjadi tumpuan ramai itu, Arshad berkata selaku pesara anggota keselamatan beliau merasakan isu tersebut sudah menjadi isu kepentingan awam dan bukan lagi masalah dalaman parti.

“Ia sudah menjadi isu kepentingan awam. Patriot mahu SPRM meneliti kes ini sedalam-dalamnya.

“Ini adalah Malaysia Baharu dan rakyat tak bertolak ansur dengan korupsi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arshad berkata tindakan 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang menghantar memorandum menentang pemecatan itu juga menjadi isu kepentingan awam.

Beliau mempersoalkan mengapa mereka beria-ia mempertahankan kedua-dua ahli yang dipecat itu.

“PKR adalah sebahagian daripada (parti) pakatan pemerintah dan ini mencetuskan kebimbangan serius kepada orang awam.

“Ia membangkitkan persoalan tentang integriti pemimpin politik,” katanya.

Katanya, jika benar dakwaan bahawa tindakan rasuah itu berlaku pada tahun pertama Pakatan Harapan menjadi kerajaan, ia adalah “sangat memalukan”.

Tambahnya, kes itu patut menjadi amaran keras kepada parti PH yang lain bahawa rakyat tidak bertolak ansur dengan sebarang bentuk korupsi, walaupun ia hanya melibatkan jumlah dan projek kecil.

“Parti PH perlu sepanjang masa memantau pemimpin mereka di setiap lapisan.” – 1 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen