PKR menangkis tuduhan sekumpulan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti bahawa agensi antirasuah tidak menemui sebarang kes ke atas seorang anggota majlis tersebut dan seorang lagi yang kini dipecat.
Setiausaha PKR Saifuddin Nasution menjelaskan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menarik balik laporan yang menemui perbuatan rasuah dan salah laku ahli berkenaan.
Jelasnya, kesilapan yang dilakukan agensi itu adalah menghantar laporan rasuah kes ahli MPP Zakaria Hamid dan Ismail Dul Hadi kepada ibu pejabat parti.
Kedua-duanya dipecat minggu ini selepas mendapat keterangan kes daripada SPRM, katanya yang membacakan semula kandungan laporan SPRM bertarikh 23 Oktober itu dalam sidang media.
“Laporan ini bertujuan meminta ketua jabatan mengkaji dan meneliti keterangan-keterangan yang diperolehi hasil siasatan SPRM.
“Dan mencadangkan tindakan tatatertib sewajarnya diambil ke atas pegawai berkenaan mengikut kod etika tatatertib parti,” jelas Saifuddin.
Laporan itu menyebut, kes Zakaria yang merupakan bekas setiausaha politik Menteri Kerja Raya Baru Bian itu melibatkan projek kementerian itu.
Zakaria didawka menawarkan projek bernilai RM20,000 ketika beliau bertanding untuk kerusi MPP dalam pemilihan parti yang lalu.
“Ada juga pengakuan daripada DPP (timbalan pendakwa raya) yang mengesyorkan tindakan diambil terhadap Zakaria.
“Kalau membaca isi kandungan surat itu, adakah kita perlu meminta maaf?” soal Saifuddin.
Beliau merujuk tuntutan dari kumpulan pemimpin MPP diketuai Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang mendesak presiden parti, Anwar Ibrahim meminta maaf atas pemecatan itu.
Tambahnya, laporan kes itu sudahpun ditunjukkan kepada MPP dan tindakan pemecatan berkenaan berdasarkan pernyataan tuntutan daripada pihak berkuasa tersebut.
Katanya lagi, sepucuk surat kemudian dihantar kepada Zakaria dan beliau diberi masa dua minggu untuk membuat rayuan.
Kumpulan dipimpin Azmin itu bagaimanapun hari ini mendakwa keputusan memecat Zakaria dan Ismail dibuat dengan alasan yang cacat.
Tindakan itu juga dibuat tanpa menepati prinsip keadilan dan tidak melalui proses sepatutnya, desak pemimpin berkenaan lagi dalam satu memo kepada Lembaga Disiplin PKR.
“Ini diperkukuhkan dengan kenyataan terbuka pihak SPRM sendiri yang menjelaskan kekhilafan pihak mereka dalam hal makluman kepada Lembaga Disiplin parti tentang isu tersebut.
Malahan turut dinyatakan bahawa setelah disiasat, tiada kes wujud seperti dakwaan,” memo itu dipetik.
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/202061
Lembaga disiplin PKR pada Sabtu lalu mengesahkan Zakaria dipecat atas syor SPRM.
Parti itu seterusnya semalam mengeluarkan surat memaklumkan pemecatan Zakaria daripada parti. Turut dipecat keanggotaan adalah ahli PKR Pahang, Ismail juga atas dakwaan rasuah.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata surat pemecatan tersebut dihantar pada Khamis dan pemakluman dibuat selepas Mesyuarat MPP Ahad lalu.
Kedua-duanya berhak membuat rayuan dalam tempoh 14 hari selepas dipecat.
Selain Azmin, turut membantah pemecatan itu adalah dua naib presiden, Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua serta dua timbalan ketua sayap, Haniza Talha dan Hilman Idham.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri Pengangkutan Kamaruddin Jaafar juga merupakan antara anggota MPP yang membantah. – 30 November, 2019.
Komen