Tian Chua, Sivarasa tak tuntut minta maaf, kata Anwar


Zaim Ibrahim

Anwar Ibrahim berkata kenyataan itu memasukkan perkara yang tidak dipersetujui oleh ahli MPP tertentu dalam memorandum kepada Lembaga Disiplin PKR itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2019.

DUA pemimpin PKR menafikan membuat tuntutan supaya memohon maaf atas kes pemecatan dua anggota atas kes rasuah, kata presidennya Anwar Ibrahim.

Oleh itu beliau percaya tuntutan mereka tersebut bersama 18 lagi ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti hari ini “dipermainkan”.

Jelasnya, kenyataan itu memasukkan perkara yang tidak dipersetujui oleh ahli MPP tertentu dalam memorandum kepada Lembaga Disiplin PKR itu.

“Dalam kenyataan itu, (terdapat ayat) membantah  presiden dan mendesak presiden memohon maaf.

“Menurut Tian Chua, Sivarasa dan beberapa orang itu (desakan mohon maaf) tidak ada dalam kenyataan, maknanya kenyataan itu juga dipermainkan.

“Dalam kenyataan itu dimasukkan hal-hal yang tidak dipersetujui oleh beberapa orang,” kata beliau dalam satu sidang media di Pulau Pinang.

Beliau menjawab tuntutan 20 anggota MPP PKR agar beliau meminta maat atas pemecatan aggota majlis tersebut Zakaria Ismail dan seorang lagi ahli PKR Ismail Dul Hadi.

Kedua-duanya dipecat berhubung kes rasuah semasa pemilihan parti tahun lalu.

Seramai 20 ahli MPP menolak pemecatan Zakaria sebagai ahli MPP parti itu dan menuntut Anwar memohon maaf.

Kenyataan bersama itu terkandung dalam memo bertajuk ‘Pemecatan Zakaria Abdul Hamid Sebagai Ahli MPP Keadilan Adalah Tidak Sah’ yang ditujukan kepada Lembaga Disiplin PKR.

Tiga daripada 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi berkenaan ialah Timbalan Presiden,  Azmin Ali serta dua Naib Presiden iaitu Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua.

17 nama lain di dalam memo berkenaan ialah Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Hilman Idham.

Mengulas lanjut mengenai kes itu, Anwar tidak menghalang sekiranya Zakaria ingin membuat rayuan dan pihak Lembaga Disiplin PKR boleh meneliti semula pemecatan itu.

“Rayuan kepada Lembaga Disiplin parti tiada halangan, saya rasa ia adalah hak ahli. Ahli boleh mendesak supaya ia dirayu namun sebaiknya yang merayu mereka itu sendiri,” katanya.

Lembaga disiplin PKR pada Sabtu mengesahkan Zakaria dipecat atas syor SPRM.

Parti itu seterusnya semalam mengeluarkan surat memaklumkan pemecatan Zakaria daripada parti. Turut dipecat keanggotaan Ismail Dulhadi, juga atas dakwaan rasuah.

Kedua-duanya berhak membuat rayuan dalam tempoh 14 hari selepas dipecat. – 30 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen