PENGERUSI Lembaga Disiplin PKR Ahmad Kassim hari ini mengingatkan ahli jawatankuasa pusat yang membantah pemecatan seorang pemimpin parti untuk menghadiri mesyuarat parti itu.
“Keputusan pecat adalah keputusan MPP, bukan keputusan lembaga disiplin atau presiden.”
“Saya merayu semua yg tandatangan memo tersebut untuk hadir mempertahankan pandangan tersebut dlm mesyuarat MPP akan datang.” kata Ahmad dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan beliau tersebut adalah sebagai maklum balas terhadap kenyataan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan 19 anggota majlis pimpinan pusat yang mengkritik pemecatan Zakaria Abdul Hamid.
20 anggota jawatankuasa pusat PKR membantah pemecatan Zakaria, dengan mengatakan proses pemecatan tersebut gagal memenuhi prinsip keadilan.
Dalam satu memorandum kepada lembaga disiplin parti, mereka berkata pemecatan Zakaria, yang juga ahli jawatankuasa itu, adalah tidak sah.
Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin serta Tian Chua adalah antara mereka yang menandatangani memorandum tersebut.
Mereka turut menuntut Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk meminta maaf kerana membuat keputusan yang salah.
Ahad lalu, PKR mengumumkan bahawa Zakaria dan Ismail Duhladi, telah dilucutkan keahlian parti berikutan siasatan tuduhan rasuah yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Ahmad berkata parti itu menerima surat daripada SPRM bertarikh 23 Oktober berhubung dakwaan rasuah yang dilakukan oleh kedua-dua mereka semasa pemilihan PKR tahun lepas.
Bagaimanapun, SPRM mengakui bahawa ia telah membuat kesilapan dalam memberi nasihat kepada PKR untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap dua anggotanya.
Zakaria, seorang ahli PKR generasi awal, menyifatkan pemecatannya sebagai tidak adil. Beliau menegaskan bahawa SPRM tidak mendakwa beliau selepas siasatan dijalankan. – 30 November, 2019.
Komen