TANGGAL 27 Oktober ini genap 30 tahun Operasi Lalang. Pada tarikh itu tiga dekad yang lalu 106 orang ditahan tanpa bicara manakala lesen penerbitan tiga buah akhbar ditarik balik. Episod itu kekal jadi peringatan tentang apa yang boleh berlaku sekiranya tidak ada sistem semak dan imbang. Episod itu meninggalkan parut yang dalam pada jiwa Malaysia. Sebagai mengenang hari itu, The Malaysian Insight menemu bual mereka yang terlibat – tahanan dan ahli keluarga, warden pusat tahanan dan polis.

TAK hidup dipuji, tak mati dikeji.
Beliau bukanlah ahli politik terkenal. Beliau bukanlah pejuang pendidikan vernakular. Kehidupan beliau tidak dipenuhi dengan aktiviti menjelajah Malaysia dengan ucapan yang berapi-api tetapi tetap saudara La Salle ini adalah antara 106 individu yang ditahan di bawah Operasi Lalang.
Dan kesalahan yang dilakukan Anthony Rogers adalah melakukan program sosial yang memberikan bantuan kepada orang miskin serta meningkatkan kesedaran tentang ketidakadilan sosial dan ekonomi.
Walaupun zaman sudah lama berlalu, penahanan beliau atas alasan keselamatan negara sehingga kini masih boleh dianggap sesuatu yang mengarut tetapi ia tidak pernah menjadikan Rogers pendendam atau mengalah dalam perjuangan.
Katanya, penahanan itu memberikan peluang untuknya menjalinkan persahabatan dengan ramai orang pelbagai agama. Beliau juga menemui ketenangan dalam Kitab Bible yang dibacanya banyak kali helai demi helai.
Mengimbau penahanannya, beliau berkata : “Saya diberitahu yang kerajaan mahu tahu lebih lanjut tentang penglibatan Gereja Katolik dalam kerja-kerja pembangunan manusia dan keadilan sosial.”
“Satu-satunya perkara yang kami diberitahu adalah kami disiasat kerana menjadi ancaman untuk keselamatan negara,” katanya.
Rogers direman selama 60 hari dalam bilik kurungan seorang diri di Pusat Tahanan Reman Polis, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur sebelum dihantar ke Pusat Tahanan Kamunting pada 28 Disember 1987 dengan arahan tahanan dua tahun.
Beliau dibebaskan dari Kamunting selepas lapan bulan.
Kecintaan Rogers untuk bersuara menentang kemiskinan dan korupsi lahir daripada kepercayaan yang “keprihatinan kepada yang miskin dan aturan moral adalah misi tetap gereja”.
“Saya dilihat sebagai ancaman kepada keselamatan negara kerana ia (gereja) membawa bersama orang pelbagai agama yang cintakan Tuhan supaya mencintai saudara sesama manusia mereka,” kata lelaki berusia 68 tahun itu yang kini merupakan pengarah di Institut St Xavier Pulau Pinang.
“Kami bekerja untuk membantu orang Hindu, Islam dan Buddha. Bukan untuk tukar agama mereka. Ia bagi memastikan mereka menerima upah yang saksama, pendidikan yang baik, persekitaran hidup yang baik dan kerajaan bebas korupsi.”
Berikut adalah petikan wawancara Rogers bersama The Malaysian Insight:
TMI: Bagaimana penahanan ISA memberi kesan kepada kehidupan anda?
Rogers: Ramai antara kita dah dengar banyak kisah menakutkan tentang 60 hari, dikurung seorang diri, makanan gasar, tidur tak menentu dan soal siasat yang tiada sudahnya.
Papan lapis atas lantai simen, tiada bantal atau selimut bukanlah benda paling sukar. Ia adalah “kegerunan terasing” dan “terjerat dalam perangkap dimalukan”.
Sebelum ditahan, saya dibawa ke Petaling Jaya untuk ambil beberapa barangan peribadi. Selain ambil pakaian dan barang cuci badan, saya juga ambil Kitab Bible peribadi saya untuk bawa bersama.
Saya terkejut bila saya tanya pegawai jika saya boleh bawa ke dalam bilik tahanan dan bersembahyang untuk 60 hari akan datang dan mereka kata “ya”.
Kemudian selepas itu, barulah saya tahu yang permintaan saya agak jarang berlaku dan keizinan yang mereka berikan tak ramai dapat. Ramai yang mungkin tak percaya yang saya baca helai demi helai (Bible) berulang kali dan menghabiskan masa berjam lamanya merenung maksudnya.
Kelebihan mempunyai Bible bersama adalah sumber inspirasi dan kekuatan saya.
TMI: Adakah tuan marah dengan tindakan kerajaan?
Rogers: Saya tak marah dengan kerajaan, cuma sedih. Mereka boleh sahaja datang ke pejabat kami dan selidik apa yang kami buat berbanding guna ISA.
Jika mereka mahu menyiasat, ada cara betul untuk buat. Mereka tak patut guna ISA kerana ia hanya buat orang jadi takut.
Kecualilah mereka ada jumpa ada kesalahan dalam usaha kami, itu cerita lain.
Kami tak buat orang marah, kami hanya minta mereka (kerajaan) untuk jaga negara terutama sekali kerana situasi yang makin tegang, dengan buat kempen untuk kita berbaik sesama sendiri selaku rakyat Malaysia. Beritahu mereka yang perbezaan antara kita boleh disamakan.
TMI: Siapa lagi yang ditahan bersama tuan di kem tahanan?
Rogers: Kami 49 orang yang dihantar ke Kamunting ditempatkan di dua kawasan iaitu Kawasan 8 dan 9. Antara mereka di Kawasan 8 ialah mereka dari DAP, V. David, Karpal Singh, Lau Dak Kee dan Lim Guan Eng, Pemuda PAS Mat Sabu, Mahfuz Omar, Haji Sulaiman dan Khalid Samad. Ahli akademik dan pendidik pula ialah Kua Kia Soong, Sim Mou You dan yang lain.
Kami bukannya bercuti di Kamunting tetapi kami gunakan sepenuhnya masa bersama untuk berkongsi cerita tentang kerja dan kehidupan kami dan melihat perbezaan antara kami adalah satu anugerah dan bakat berdasarkan kepercayaan kami untuk menguatkan Malaysia.
Kami jadi kawan dan terus percaya yang Kamunting tak patahkan semangat kami tetapi benarkan kami menemui kembali pandangan baru untuk Malaysia yang lebih baik.
TMI: Bagaimana dengan sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan tuan?
Rogers: Sokongan daripada keluarga, gereja dan organisasi antarabangsa sangat menakjubkan. Gereja di Asia dan Eropah menujukkan sokongan kepada mereka yang bangkit memperjuangkan keadilan dengan menghantar lebih 10,000 kad dan surat kepada kami.
TMI: Jika masa boleh diputar kembali sebelum tuan ditahan, apa yang tuan akan lakukan dengan berbeza?
Rogers: Jika anda buat kebaikan tetapi ditahan, bagaimana anda boleh halangnya daripada berlaku? Jelas dalam tulisan dan ceramah saya yang mereka (pihak berkuasa) tak jumpa kesalahan.
Ia hanyalah soal bagaimana kita mengabaikan mereka yang miskin. Bagaimana anda boleh tutup mata dan tak bercakap tentang keadilan dan kebebasan?
TMI: Pengalaman paling perit di Kamunting?
Rogers: Keperitan paling hebat adalah melihat penderitaan keluarga yang datang melawat. Sedih sangat terutama bila melihat anak-anak melawat ibu bapa mereka di Kamunting.
Mereka tak faham mengapa mereka perlu datang dan berjumpa ayah mereka di sebalik tirai besi.
Bagi saya, tiada pengalaman pahit. Saya jadi kawan dengan ramai orang pelbagai kepercayaan dan itu adalah pencapaian yang hebat.
TMI: Adakah pengalaman tuan menghalang tuan daripada terus melakukan kerja sosial selepas dibebaskan?
Rogers: Tak, hidup kami adalah untuk bantu orang miskin. Hanya kerana ada orang suruh kami jangan buat baik, kami tak boleh tunduk dan berdiam diri. Berbuat kebaikan untuk manusia adalah asas kepercayaan agama kami. – 27 Oktober, 2017.
Komen