PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 Sosma adalah perkara yang sukar untuk diselesaikan.
Pemimpin berusia 94 tahun itu berkata kerajaan Persekutuan akan membincangkan undang-undang selanjutnya selepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali semalam membenarkan permohonan ikat jamin Adun Gadek G Saminathan walaupun ditahan di bawah undang-undang keselamatan.
“Kita akan bincang. Walaupun perkara ini sukar, kita tak mahu membiarkan seorang suspek bebas contohnya seseorang yang mampu buat bom kita tak boleh bebaskan mereka.
“Tetapi ada yang dituduh menyalahgunakan ekonomi dan kami berikan jaminan kepada mereka. Kami mahu mengurangkan tempoh tahanan dari 28 hari ke 25 hari, semuanya sedang dibincangkan,” katanya selepas merasmikan program Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) hari ini.
Pada Jumaat Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa hakim boleh menggunakan budi bicara mereka dan membenarkan jaminan bagi mereka yang dituduh di bawah Sosma.
Dalam membuat keputusan itu Jumaat lalu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata sebagai sebuah badan bebas kerajaan, badan kehakiman bertanggungjawab memeriksa sebarang kekurangan badan perundangan dan eksekutif.
“Prinsip pemisahan kuasa merupakan ciri khas negara moden,” katanya.
Beliau berkata selepas membenarkan cabaran perlembagaan yang dibawa oleh Adun Gadek G Saminathan yang didakwa menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Hakim menambah bahawa Seksyen 13 Sosma adalah ultra-vires (bertentangan) Artikel 121(1) Perlembagaan Persekutuan.
Pada 31 Oktober Saminathan dan 11 yang lain dituduh menyokong kumpulan pengganas berkenaan. – 30 November, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen