Perlu 5 tahun untuk penuhi janji manifesto, kata Dr Mahathir


Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata PH tidak mempunya maklumat mencukupi ketika merangka manifestonya menjelang PRU14 lepas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 November, 2019.

PAKATAN Harapan (PH) tidak mempunyai maklumat mencukupi ketika merangka manifestonya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika menjelaskan mengapa beberapa janji tidak dapat dipenuhi buat masa ini.

Beliau berkata PH membuat banyak janji dan sekarang kerajaan Persektuan perlu mengambil masa lima tahun bagi memenuhi manifesto pilihan raya.

Dr Mahathir berkata PH tidak mendapat maklumat mencukupi ketika merangka manifesto dan sebaik sahaja mereka mengambil alih Putrajaya, masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu amat dahsyat.

Perdana menteri menjawab sedemikian ketika ditanya mengenai ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan PH.

“Sekiranya ada yang tidak berpuas hati, mereka boleh mengundi semula dalam PRU15, janji kami banyak dan kami akan mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun untuk menyelesaikan semuanya.

“Kerana masalah yang ditinggalkan oleh BN, ia lebih sukar untuk kita memenuhi janji yang dibuat,” katanya selepas program Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di Selangor hari ini.

Satu kajian yang dijalankan oleh Emir Research baru-baru ini menunjukkan majoriti rakyat Malaysia merasakan PH tidak cukup bagus dan tidak pasti sekiranya negara berada di landasan yang betul.

Kajian mendapati 75% daripada responden sama ada tidak pasti atau pesimis dengan kerajaan semasa manakala hanya 24% mendapati kerajaan PH berdaya maju.

Kajian “The Pulse From the Ground: Voices & Expectations of the Rakyat on Current Socio-economic Issues” telah dijalankan dari 5 September hingga 10 Oktober dan mengumpulkan 1,992 responden.  – 30 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen