NEGARA-negara Islam gagal melindungi sesama sendiri kerana pemimpinnya yang tidak cekap mentadbir, kata Perdana Menteri Dr Mahathir.
Dr Mahathir ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Perkim Kebangsaan Ke-58 di Petaling Jaya hari ini berkata ketidakcekapan ini menyebabkan orang Islam mendapatkan bantuan dari negara Barat.
“Hari ini, kita lihat banyak negara Islam gagal membantu orang Islam yang ditimpa masalah kerana kita tidak cekap tadbir negara sendiri.
“Tidak ada lagi negara Islam yang kuat seperti Empayar Uthmaniyah yang disegani Barat,” kata perdana menteri.
Menurutnya, majoriti pelarian hari ini datang dari negara Islam akibat ketidakstabilan negara mereka.
Faktor inilah punca mengapa ramai orang Islam meninggalkan negara mereka, tambah Dr Mahathir.
“Dan oleh kerana mereka tidak mendapat keadilan di negara mereka sendiri, mereka dapatkan perlindungan dari Barat.”
Dr Mahathir berkata malang sekali terdapat pelarian Islam yang tidak menghargai kebaikan yang di beri oleh masyarakat bukan Islam kepada mereka.
“Malangnya, ada orang Islam yang tidak tahu bersyukur. Selepas diterima, mereka cetus masalah dengan menjejaskan kestabilan dan keamanan negara terbabit.”
Pada sidang media selepas itu, Dr Mahathir berkata negara Islam sepatutnya bekerjasama dalam mencari penyelesaian bagi umat Islam yang ditindas.
“Kita ada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tetapi kita tak dapat berunding dengan semua negara anggota.
“Saya rasa cara terbaik untuk membantu umat Islam ialah melalui kerjasama antara tiga atau empat negara. Jadi lebih mudah untuk bincang cara bagaimana hendak bantu umat Islam atau membangunkan negara Islam,” jelas beliau. – 30 November, 2019.
Komen