SEKUMPULAN 20 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR menentang pemecatan rakan mereka, Zakaria Abdul Hamid daripada jawatankuasa itu atas tuduhan salah laku dan rasuah semasa pemilihan parti.
Kumpulan berkenaan yang diketuai Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menganggap pemecatan itu cacat dan tidak mengikut prinsip keadilan.
Dalam satu kenyataan, kumpulan berkenaan menegaskan pemecatan itu tidak wajar kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui tersilap dalam saranannya.
“Ini diperkukuhkan dengan kenyataan terbuka pihak SPRM sendiri yang menjelaskan kekhilafan pihak mereka dalam hal makluman kepada Lembaga Disiplin parti tentang isu tersebut.
“Malahan turut dinyatakan bahawa setelah disiasat, tiada kes wujud seperti dakwaan.
“Justeru, kami mewakili majoriti Ahli MPP yang dipilih oleh anggota parti dengan ini menyatakan penolakan kami terhadap keputusan tergesa-gesa tersebut,” kenyataan itu dipetik.
Mereka turut mendesak Presiden PKR Anwar Ibrahim memohon maaf atas tindakan pemecatan berkenaan.
Lembaga disiplin PKR pada Sabtu mengesahkan Zakaria dipecat atas syor SPRM.
Parti itu seterusnya semalam mengeluarkan surat memaklumkan pemecatan Zakaria daripada parti. Turut dipecat keanggotaan adalah ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi, juga atas dakwaan rasuah.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dilaporkan berkata surat pemecatan tersebut dihantar pada Khamis dan pemakluman dibuat selepas Mesyuarat MPP Ahad lalu.
Kedua-duanya berhak membuat rayuan dalam tempoh 14 hari selepas dipecat.
Selain Azmin, turut membantah pemecatan itu adalah dua Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua serta dua Timbalan Ketua sayap, Haniza Talha dan Hilman Idham.
Menteri Besar Selangor Amiruddin Shaari, Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri Pengangkutan Kamaruddin Jaafar juga merupakan antara anggota MPP yang membantah. – 30 November, 2019.
Komen