Pemimpin tertinggi Amanah dijangka kekal jawatan dalam pemilihan parti


Sheridan Mahavera

Sumber parti memberitahu The Malaysian Insight, pemimpin-pemimpin tinggi Amanah ini mendapat sokongan atas gandingan dinamik antara mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2019.

PEMIMPIN tertinggi Amanah termasuk lima menteri Kabinet mungkin akan mengekalkan jawatan dalam pemilihan parti minggu depan, pemilihan pertama sejak Pakatan Harapan (PH) berjaya mengambil alih Putrajaya pada Mei tahun lalu.

Sumber parti memberitahu The Malaysian Insight, pemimpin-pemimpin tinggi Amanah ini mendapat sokongan atas gandingan dinamik antara mereka, dan proses pemilihan itu sendiri yang mengelak pertandingan satu lawan satu.

Barisan kepimpinan ini dijangka mengekalkan jawatan masing-masing walaupun beberapa nama besar dalam parti kalah dalam pemilihan di peringkat bahagian.

“Presiden dan timbalan beliau, dan mungkinsatu atau dua orang naib presiden akan kekal selepas pemilihan,” kata sumber yang rapat dengan pimpinan pusat.

Presiden Amanah kini dipegang oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, manakala timbalannya adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayob.

Tiga Naib Presiden pula adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlien Tampin Dr Hasan Baharom dan Husam Musa.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad pula dalam jawatankuasa pusat.

Antara ahli jawatankuasa pusat ialah Timbalan-timbalan Menteri Mahfuz Omar (Sumber Manusia), Anuar Tahir (Sumber Manusia), Raja Kamarul Bahrin (Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Dr Hatta Ramli (Pembangunan Usahawan).

Penganalisis politik Dr Mazlan Ali berkata berdasarkan pemantauan di beberapa mesyuarat agung tahunan Amanah di peringkat akar umbi dan negeri, ahli parti itu berpuas hati dengan pemimpin mereka.

“Terdapat gelombang kecil perubahan di peringkat akar umbi di mana beberapa nama besar kalah dalam pemilihan. Tetapi gelombang ini kecil sahaja dan melibatkan beberapa orang sahaja,” kata Mazlan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Secara keseluruhannya, perwakilan yang akan menghadiri Konvensyen Nasional Amanah di Shah Alam minggu depan juga mungkin akan mengekalkan 27 ahli jawatankuasa pusat yang sama.

“Mungkin akan ada muka baharu, tetapi saya percaya jawatankuasa akan pilih berdasarkan seniority pemimpin,” katanya.

Ahli matang

Proses pemilihan Amanah berbeza daripada parti politik lain, di mana pemilihan bukan untuk memilih jawatan tertentu sebaliknya memilih 27 ahli jawatankuasa pusat.

Pada peringkat kebangsaan, 27 ahli jawatankuasa pusat ini, bersama ketua sayap Pemuda dan Wanita dan 14 pengerusi negeri kemudiannya akan memilih presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden.

Proses pemilihan bagi peringkat bahagian, negeri, Wanita dan Pemuda adalah sama.

Ketua Pemuda Amanah Mohd Sany Hamzan berkata sistem ini mengelak pertembungan antara calon dan mengurangkan permusuhan dalam kalangan penyokong mereka.

Ia juga membolehkan lima pemimpin tertinggi parti ditukar pada bila-bila masa oleh 27 ahli jawatankuasa pusat. – 30 November, 2019.

Berita penuh di sini.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen