MENTERI Umno Nazri Aziz hari ini mempertahankan Lim Guan Eng daripada desakan pihak tertentu supaya ketua menteri Pulau Pinang meletakkan jawatan susulan insiden tanah runtuh di Tanjung Bungah, Sabtu lalu.
Menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata tidak pernah berlaku sebelum ini di mana menteri perlu meletakkan jawatan jika berlakunya bencana alam.
“
“Ketika tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, menteri pada masa itu tidak pun letak jawatan.
“Jadi peraturannya perlu diguna pakai pada semua, tidak berpilih,” katanya di Shah Alam hari ini selepas melancarkan karakter kartun Upin Ipin sebagai duta pelancongan Melaysia.
Tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa berlaku pada 6 Disember, 2008 menyebabkan enam maut manakala 14 banglo musnah.
The Star melaporkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar mencabar veteran DAP Lim Kit Siang supaya minta Guan Eng meletak jawatan susulan insiden tragik tanah runtuh itu.
Kejadian di tapak pembinaan Granito@Permai di Lorong Lembah Permai 3, Tanjung Bungah pada pagi hujung minggu lalu menyebabkan 10 pekerja asing dan seorang penyelia warga tempatan maut.
Pihak berkuasa tempatan kemudian mengeluarkan arahan pemberhentian kerja di tapak itu, bagi pembinaan projek pangsapuri 50 tingkat.
Kerajaan negeri juga menyenaraihitamkan syarikat dan perunding yang terbabit dalam pembangunan itu sehingga Suruhanjaya Siasatan Negeri mengenai tanah runtuh itu selesai menyiasat dan membuat laporan insiden berkenaan.
Guan Eng semalam mengumumkan penubuhan suruhanjaya itu dan diberikan masa tiga bulan. – 26 Oktober, 2017.
Komen