BARU saja menang pada PRK Tanjung Piai, MCA akan mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) hari ini dengan kebenaran parti itu dibuka untuk ahli bukan Cina, menjadi topik utama dalam agendanya.
Tidak lama selepas Tanjung Piai di mana calonnya Wee Jeck Seng memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti besar 15,000 undi, parti itu mengumumkan rancangannya untuk meminda perlembagaannya pada AGM ke-66, iaitu membenarkan bukan Cina menyertai parti itu sebagai ahli bersekutu.
Selain MCA, PAS juga membenarkan bukan Islam untuk menyertai parti itu sebagai penyokong tanpa hak mengundi.
MCA juga mahu meminda perlembagaannya untuk menurunkan umur keahlian pada 16 tahun dan membenarkan parti itu menggantung pemilihan parti hingga selepas PRU15.
Ini bermakna kepimpinan pada masa ini dikekalkan hingga PRU15 yang dijadualkan perlu diadakan 2023.
Tetapi penganalisis berpendapat daripada agenda membenarkan bukan Cina menyertainya sebagai ahli bersekutu, apa yang parti itu perlukan sekarang ialah dasar lebih baik untuk menarik rakyat Malaysia daripada semua golongan kepada parti itu.
Bekas wartawan dan pemerhati MCA, Dr Chia See Kian berkata membawa masuk bukan Cina sebagai ahli, tidak akan memberi banyak kelebihan dalam kempen parti itu untuk pilihan raya umum akan datang.
“Pendekatan itu hanya mengurangkan kerana ia tidak benar-benar menyelesaikan masalah parti untuk menarik minat rakyat Malaysia lain,” kata Chia.
Chia berkata tidak masuk akal untuk bukan Cina menyertai MCA tetapi tidak boleh menentukan hala tuju parti kerana mereka hanya ahli bersekutu tanpa keistimewaan hak mengundi.
Katanya, parti itu sebaliknya perlu menyemak semula hala tujunya dalam mendapatkan sokongan masyarakat Cina.
Bekas penganalisis Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur Tan Ah Chai berkata perubahan itu mungkin tidak membantu mereka mendapatkan semula lebih ramai pengundi Cina.
“Ia hanya pelan jangka pendek dan tidak bermakna untuk menghidupkan kembali parti.
“Jika MCA benarkan bukan Cina masuk, adakah parti itu kemudian patut menukar namanya daripada Persatuan Cina Malaysia kepada Persatuan Rakyat Malaysia?,” soalnya.
Dr Thock Kiah Wah dari Kolej Universiti Selatan berkata “Malaysia Baharu” sepatutnya berasaskan kepada rakyat Malaysia dulu, bukannya kaum.
“Ia langkah yang menarik tetapi ia perlu sepenuhnya dibuka kepada bukan Cina dalam keadaan politik baharu di Malaysia,” katanya, menambah membenarkan keahlian bersekutu tidak akan banyak membawa perubahan kepada parti.
Tetapi beliau berpendapat menurunkan umur keahlian kepada 16 tahun adalah langkah yang baik untuk menggalakkan lebih ramai belia menyertai politik pada usia muda. – 30 November, 2019.
Komen