Mara 'terlupa' amanah padanya, kata Arshad Ayub


Zaim Ibrahim

Majlis Amanah Rakyat perlu berpegang teguh pada amanah dan tanggungjawab yang dimandatkan kepadanya untuk membantu menaikkan taraf hidup orang Melayu, kata tokoh pendidikan Arshad Ayub. – Gambar YouTube, 29 November, 2019.

TOKOH pendidikan Arshad Ayub mahu Majlis Amanah Rakyat (Mara) berpegang teguh pada amanah dan tanggungjawab yang dimandatkan kepadanya untuk membantu menaikkan taraf hidup orang Melayu.

Katanya, Mara hari ini seperti “terlupa” dengan amanah tersebut kerana sebahagian pengurusnya tidak faham akan tanggungjawab badan itu.

Mereka yang “terlupa” ini hanya bekerja untuk makan gaji dan bukannya menjalankan amanah yang diberi, kata Arshad.

“Mara dan UiTM mempunyai pelbagai perkara yang perlu dilakukan, ia satu amanah yang ditulis, yang diberikan oleh kerajaan untuk pegang amanah supaya orang Melayu dan Islam maju…. mereka terlupa.

“Adakah dia faham (amanah yang diberikan)?

“Adakah anda bersedia untuk bersikap integriti, ikhlas dan telus?” katanya.

Arshad mengulas keadaan sosioekonomi Melayu ketika diwawancara oleh tokoh wartawan Johan Jaaffar dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Shah Alam, hari ini.

Arshad, 91, terlibat dalam penubuhan awal Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 1966, yang ketika itu bertaraf institut. Beliau pengarah pertama institusi pendidikan yang sudah melahirkan ratusan ribu profesional Melayu.

Arshad membuat pemerhatian itu ketika kerajaan sedang merangka pelan baharu ekonomi Wawasan Kemakmuran Bersama bertujuan menyeimbangkan ketidaksamaan sosioekonomi rakyat menjelang 2030.

Jelas Arshad, orang Melayu terkebelakang berbanding kaum lain antaranya kerana mereka kurang sifat amanah dan tidak mempunyai nilai positif.

“Satu daripada masalah orang Melayu hari ini ialah, dia tidak menjalankan tugas. Dia anggap tugas itu untuk makan gaji.

“Saya tidak… saya anggap tugas itu sebagai amanah yang diberikan oleh kerajaan,” jelasnya, merujuk pengalamannya semasa ditugaskan mengetuai Institut Teknologi Mara antara 1967 dan 1975.

Arshad turut menegur sikap orang Melayu yang tidak menggunakan peluang yang diberikan kerajaan untuk lebih berdaya maju.

“Ini yang saya kata, kerajaan dah banyak belanja untuk pembangunan orang Melayu, tetapi kita macam tak ambil kesempatan sepenuhnya.

“Kalau nak kaya, bukanlah hingga menjadi seorang jutawan, (tetapi) barang kali kita mudah berpuas hati.

“Seperti saya, saya tidak akan berhenti. Saya ada aset di Langkawi yang saya mahu bangunkan, saya tidak akan sekadar duduk diam,” tambahnya lagi.

Arshad berkata sebagai orang Islam, kaum Melayu tidak boleh meninggalkan agama dan mereka perlu seimbang dengan tujuan ke akhirat dan di dunia.

“Sebagai orang Islam yang sempurna dan (mahu) masuk syurga, memang bagus kita melakukan pelbagai ibadah. Tetapi dunia ini kadang-kadang kita terlupa.

“Kita ada 24 jam sehari, jadi bahagikan masa (untuk urusan akhirat dan dunia).

“Kita boleh buat pilihan, yang wajib tu kita tahulah… kalau nak tambah lagi terpulang,” tambahnya. – 29 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen