PEMBELI rumah dinasihatkan agar tidak tergesa-gesa dalam memfailkan tuntutan dan pampasan berhubung projek terbengkalai meskipun Mahkamah Persekutuan membuka peluang itu kepada mereka.
Menurut pemain industri, adalah lebih baik pembeli rumah yang terjejas terlebih dahulu mempertimbangkan keadaan pasaran hartanah.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa pengawal perumahan tidak mempunyai kuasa untuk memberi lanjutan masa (EOT) kepada pemaju untuk menyiapkan projek pembangunan hartanah mereka.
Keputusan ini bermakna pembeli rumah boleh menuntut ganti rugi daripada pemaju berhubung projek terbengkalai.
Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Chang Kim Loong berkata walaupun EOT kini terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang, pembeli rumah perlu pertimbangkan pasaran hartanah yang perlahan sebelum mengambil tindakan.
“Pembeli rumah ada hak untuk mengambil tindakan namun mereka perlu pertimbangkan situasi pasaran terlebih dahulu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Saya menggesa semua pembeli rumah untuk berhati-hati dengan situasi pasaran semasa yang mana kerajaan memberikan pengecualian duti setem dan pemaju memberikan diskaun dan bermacam lagi.
“Kamu mesti menilai sama ada mahu teruskan tuntutan untuk ganti rugi atau tidak,” katanya.
Beliau berkata, walaupun ianya lebih baik pembeli rumah memutuskan tindakan terbaik untuk diri mereka sendiri, namun adalah penting untuk memastikan kelangsungan hidup pasaran hartanah.
Persatuan itu, katanya, juga mahu menggesa kerajaan supaya tidak bertindak terhadap kepentingan pembeli rumah dengan menyalahgunakan EOT.
Chang berkata terdapat kes yang mana EOT telah dilanjutkan sehingga 60 bulan, atau lima tahun. – 29 November, 2019.
Komen