4 suspek lelaki ‘aktif’ di klia2 sejam sebelum Jong-nam dibunuh


Bede Hong

Warga Indonesia, Siti Aisyah duduk di kerusi roda ketika lawatan hakim ke klia2 minggu ini. Siti dan seorang lagi wanita Vietnam dituduh membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2017.

RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan empat suspek yang masih bebas dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam kelihatan aktif berbincang selama lebih sejam di klia2 sebelum mangsa warga Korea Utara itu disapu mukanya dengan agen saraf beracun.

Rakaman video itu yang ditayangkan ketika perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menunjukkan empat lelaki terbabit sesekali bergerak secara berasingan di semua empat tingkat lapangan terbang itu.

Mereka akhirnya berkumpul berhampiran Bibik Heritage, sebuah restoran berhampiran kiosk daftar masuk layan diri di balai berlepas klia2 di mana Jong-nam diserang.

Semua lelaki terbabit juga menukar pakaian dan penampilan di beberapa tandas sepanjang berada di lapangan terbang.

Identiti sebenar keempat-empat lelaki terbabit dan kewarganegaraan mereka masih belum dapat dipastikan.

Dalam perbicaraan itu, dua wanita, warga Vietnam Doan Thi Huong, 28 dan warga Indonesia Siti Asyah, 25 didakwa membunuh Jong-nam. Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Polis melabelkan empat lelaki terbabit sebagai “Hanamori”, “Mr Y”, “Mr Chang” dan “James”.

Jong-nam mati pada 13 Februari di dalam ambulans ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya akibat terdedah kepada agen saraf itu, kata pihak berkuasa.

Kedua-dua tertuduh wanita mengaku tidak bersalah, menyangka mereka terbabit dalam satu “prank” untuk rancangan televisyen.

Pegawai Penyiasat Asisten Superintenden Wan Azirul Nizam Chie Wan Aziz memberitahu mahkamah hari ini yang “Hanamori”, lelaki berbaju warna ungu, kelihatan seperti ketua.

“Peranan Hanamori seperti penyelaras,” kata Azirul.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad mengetuai sesi soal balas.

Rakaman itu menunjukkan sebuah kenderaan Naza Ria berwarna kelabu, dikatakan dipandu oleh Hanamori, menurunkan Mr Y dan Mr Chang pada jam 7.30 pagi, dengan kedua-dua lelaki itu memakai kemeja-T kelabu, topi hitam dan kasut hitam.

Rakaman itu menunjukkan Mr Y membawa beg hitam dan Mr Chang memegang beg plastik putih.

Mr Y kelihatan bertemu Doan di balai berlepas di tingkat 3.

“Doan kelihatan biasa, nampak tenang dan memegang bajunya,” kata Azirul.

Di restoran itu, kira-kira sejam sebelum serangan, Hanamori bertemu dengan James, lelaki di mana peguam bela mendakwa merekrut Siti, dan memperkenalkannya kepada Mr Chang. 

Hanamori juga bertemu Mr Y dan Mr Chang secara berasingan di restoran itu lebih sejam sebelum serangan.

Perbualan kelihatan ringkas dan tenang.

Empat puluh minit sebelum serangan, Mr Chang bertemu Siti Aisyah di Bibik Heritage, di mana pendakwa berkata dia menyerahkan sesuatu kelihatan seperti tiket teksi kepadanya.

Rakaman CCTV menunjukkan Mr Chang membeli sebotol air mineral dan pada masa itu dia kelihatan ada janggut dan misai, kata Azirul.

Rakaman berasingan juga menunjukkan Mr Chang berada di kaunter teksi di tingkat 1.

Muka Jong-nam dilumur dengan bahan kimia itu tepat jam 9 pagi.

“Hanamori masih berada di kawasan itu sepertinya untuk memastikan ia berjalan mengikut perancangan,” kata Azirul dalam keterangannya.

Mr Y dan Mr Chang kemudian kelihatan memasuki tandas dan keluar dengan kemeja T lain dan tanpa topi.

Mr Chang juga sudah tidak berjanggut dan misai ketika keluar dari tandas.

Mr Y keluar dari tandas di tingkat 2M pada 9:23 pagi dengan pakaian lain dan tanpa begnya. Pada 9:28 pagi, Mr Chang menuju ke tingkat 1 ke arah perhentian teksi, memakai baju lain dan tanpa beg plastik putih.

Ketika ditanya bagaimana pasukan penyiasat dapat membezakan empat lelaki itu daripada orang ramai yang lain dalam rakaman itu, Azirul berkata: “Kami dapat mengenal pasti mereka daripada bentuk tubuh, dan cara mereka bergerak serta pakaian.”

“Apa yang saya perasan tentang semua suspek ialah walaupun mereka tukar baju dan penampilan, mereka tidak tukar kasut.”

Beberapa hari selepas serangan itu, polis mendedahkan nama empat warga Korea Utara – Ri Ji Hyon, 33, Hong So Hac, 34, O Jong Gil, 55, dan Ri Jae Nam, 57 – sebagai suspek.

Mereka melarikan diri dari negara ini tidak lama selepas kematian Jong-nam, kata polis.

Perbicaraan bersambung 6 November. – 26 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen