PENJAWAT awam masih meneruskan kehidupan mereka seperti biasa walaupun kecoh berita pemindahan jawatan dan dakwaan keregangan hubungan pegawai tinggi dan ahli politik dipilih rakyat.
Kerja dan peranan mereka sebagai anggota polis, jururawat, guru dan tentera tidak terjejas walaupun ada spekulasi kewujudan daulah terpendam menentang pentadbiran Pakatan Harapan, kata Cuepacs, kumpulan yang memayungi kesatuan sekerja penjawat awam.
Presiden Cuepacs Mohd Azih Muda memberitahu The Malaysian Insight yang tahap dedikasi penjawat awam di bawah PH sama seperti ketika mereka di bawah rejim Barisan Nasional.
“Kerja kami masih sama, kami hanya makan gaji. Kami tak terlibat dalam politik antara pegawai dan ahli politik,” katanya.
“Apa pun parti yang berkuasa, kami akan ikut apa mereka kata. Kesetiaan kami kepada kerajaan hari ini,” kata Azih yang juga menerajui kesatuan pekerja majlis dan pihak berkuasa tempatan.
Azih berkata kesatuan ada mendengar cerita tentang pemindahan yang melibatkan ketua setiausaha kementerian (KSU) itu, tetapi mereka tidak ada pandangan untuk diberikan.
“Saya tak tahu hendak kata apa kerana pegawai ini bukan ahli kami. Ahli kami tak terjejas.”
Cuepacs mewakili penjawat awam Gred 48 dan ke bawah yang merupakan majoriti pekerja kerajaan.
The Malaysian Insight sebelum ini memetik beberapa sumber yang berkata tentang sekurang-kurangnya lapan orang KSU akan dipindahkan menjelang hujung tahun ini, dalam usaha Putrajaya mengatasi masalah daulah terpendam penjawat awam.
Ia adalah rombakan pentadbiran awam besar-besaran pertama dibuat PH sejak jadi kerajaan ketika terbongkar beberapa skandal kelulusan tender atau projek dibuat tanpa pengetahuan menteri berkaitan.
Menurut sumber lagi, lapan kementerian yang berkaitan ialah Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pembangunan Usahawan.
Ahli politik PH juga mendakwa pertuduhan ke atas dua wakil rakyat mereka di bawah undang-undang anti keganasan ada kaitan dengan daulah terpendam dalam pasukan polis dan Jabatan Peguam Negara.
Penahanan dua wakil rakyat terbabit bersama-sama 10 individu lain kerana dituduh cuba menghidupkan semula Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah bertujuan untuk menjejaskan PH, kata Timbalan Menteri Sivarasa Rasiah.
Sebelum ini, PH juga menyalahkan daulah terpendam kerana kegagalan menandatangani Statut Rom, konvensyen antarabangsa itu membolehkan Malaysia menjadi ahli Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). – 29 November, 2019.
Komen