KETUA Penerangan Umno Annuar Musa mempersoalkan kemampuan Pakatan Harapan untuk memastikan kerajaan yang ditadbir mereka bebas rasuah seterusnya menjimatkan wang negara sebanyak RM20 bilion seperti digariskan dalam bajet alternatif mereka.
Malah katanya, kerajaan negeri di bawah pentadbiran PH seperti Selangor dan Pulau Pinang juga terpalit dengan skandal rasuah.
“Saya nak tanya adakah kerajaan ini tak bendung rasuah sampai tidak cukup kakitangan SPRM tahan Pemuda Umno, Warisan, kerajaan ini bukan sokong rasuah tapi ia masih berlaku sana sini, ini realiti hidup,” katanya pada Program Santai Anda Tanya Saya Jawab yang diadakan di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.
“Serupa juga saya tanya adakah kerajaan PH bebas rasuah, kalau tak macam mana Lim Guan Eng (ketua menteri Pulau Pinang) dihadap ke mahkamah, datang pula kat Selangor, kerajaan pentadbiran Mohamed Azmin Ali pun ada kes rasuah skandal seksnya.”
Annuar berkata bajet alternatif PH juga gagal menjelaskan daripada mana mereka memperolehi hasil pendapatan dengan dasar yang ingin dilaksanakan oleh mereka sekiranya mereka menawan Putrajaya.
Katanya, bajet alternatif PH dibuat tanpa tanggungjawab untuk laksanakannya dan mereka boleh menjanjikan bulan bintang bagi menawan hati rakyat.
“Sebagai contoh dia nak jadikan kerajaan ini sebagai kerajaan menawarkan pendidikan percuma. Benar tapi mereka tidak diterjemahkan ke dalam (pengunaan) duit. Macam sekarang ini kita separa percuma dari tadika hingga ke menengah.
“Universiti cuma bayar separuh, tapi kalau tidak bayar apa-apa implikasinya adalah sebanyak RM680 juta setahun, dan kalau tempoh 10 tahun sebanyak 6.8 bilion hilang di situ,” katanya.
Tambahnya, jika melakukan bajet dengan memberikan rakyat pelbagai perkhidmatan percuma mudah dilakukan maka sudah tentu Perdana Menteri Najib telah lama melaksanakannya.
Semalam PH membentangkan bajet alternatif mereka dengan dengan menetapkan KDNK lebih rendah sebanyak 2% berbanding 3 % yang ditetapkan BN dalam Bajet 2017.
Bajet alternatif PH turut mencadangkan belanjawan yang menyediakan peruntukan lebih tinggi untuk pembangunan dan defisit lebih kecil. – 26 Oktober, 2017.
Komen