1,001 ragaman menteri di mata wartawan 


Zainal Rashid Ahmad

Kerja wartawan melaporkan berita dan memburu maklumat berlaku tiap detik dan hari. Satu pertarungan ibarat hidup dan mati. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2019.

SECARA amnya, semua wartawan merasakan kerjaya mereka penting. Tetapi menteri akan berasa kerjanya seribu kali lagi penting.

Kerja wartawan melaporkan berita dan memburu maklumat berlaku tiap detik dan hari. Satu pertarungan ibarat hidup dan mati.

Wartawan Malaysia masih berpaksikan berita kepada titik maklumat politik. Sebab, politik kunci utama pergerakan negara. Kunci ekonomi dan kunci sosial.

Politik digerakkan pemainnya. Kerajaan atau pembangkang peranannya sama penting.

Cuma menteri memiliki lebih perhatian kerana mereka antara seberkas kunci pintu kuasa Putrajaya. Sebagai anggota kabinet, menteri lebih bernilai berita.

Itu pun kalau menterinya menyebarkan maklumat berasaskan rasa tanggungjawab dan ada integriti.

Impak kuasa menteri amat penting kepada masyarakat. Cakap menteri dianggap dasar negara. Faktanya memberi kesan kepada kehidupan harian. Walaupun terma menteri ‘lip service’ sudah sinonim dengan politik negara ini.

Memiliki kuasa sebagai kerajaan punca utama menteri dikejar wartawan. Walaupun dianggap “sampah”, “bodoh” atau dimaki “berambus”.

Wartawan pasti marah. Namun, elok saja kita berdoa: Allah selamatkan menteri agar tidak dimakan ungkapannya.

Selain maki-hamun, wujud banyak lagi ragaman menteri yang menyusahkan wartawan.

Ada menteri yang sentiasa menolak temubual eksklusif. Macam-macam alasan.

Kalau lebih 20 kali wartawan/penerbit menjemput menteri ke set TV, tetapi jawapan sentiasa sibuk – tentulah wartawan/penerbit berasa musykil.

Akhirnya, selepas berbulan menanti, keadaan jadi menyedihkan apabila wartawan/penerbit mengetahui puncanya.

“YB tak minat sebab stesen kamu tak ada rating.”

Sebaik mendapat maklumat sebenar, baru wartawan sedar – hitam putih wajah seorang menteri. Rating dan populariti satu keutamaan. Menteri juga bergengsi ala artis politik yang gilakan glamor rupanya.

“Pinggan tak retak, nasi tak dingin. Orang tak hendak, kita pun tak ingin!”

Apa lagi yang boleh dimadahkan. Apabila kecewa, petik saja kiasan lama, bercakaplah seorang diri.

Ada yang sporting

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution sangat budiman.

Diasak selama 30 minit dan berdebat soal isu harga barang, dijawabnya dengan tegas dan berfakta. Tidak perlu menghantar soalan awal untuk tapisan.

Saifuddin memilih jalan budiman. Masuk ke set dan bersiaran langsung dengan terus menjawab soalan.

Ada menteri yang enam kali kena ubah soalan. Kotak emel atau WhatsApp dipenuhi komunikasi “do’s and don’ts”. Pejabat menteri mengeluarkan syarat yang lebih panjang berbanding senarai asal soalan wartawan.

Sebenarnya, menteri jenis ini, wartawan atau hos sangat menyampah untuk menemubual. Rasa nak muntah melayan ragaman.

Walaupun bertahap menteri, tetapi takut berdepan realiti soalan. Ini satu gambaran – betapa rendahnya karisma dan karektor seorang menteri.

Berdepan kesombongan menteri

Tidak semua menteri mesra media. Ramai yang penakut bersoal jawab secara langsung. Diajak ke set, wartawan perlu mendepani karenah pasukan menteri.

Akhirnya, tujuan sesi soal jawab yang kritis, berubah jadi sesi khutbah basa-basi. Wartawan dan penonton kena mendengar ceramah, bukan jawapan bagi isu yang kritikal.

Kalau pasukan menteri banyak songeh, elok angkat kaki. Banyak lagi sumber berita yang bermakna pada negara.

“Tak apalah, buat apa buang masa kalau menterinya nak tentukan segala peraturan ketika bersiaran,” kata penerbit.

Wartawan pemburu berita. Apabila menteri suka melarikan diri, atau mahu menjadikan program soal jawab seperti milik peribadi, fokus beralih ke wakil rakyat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil contoh terbaik. Di TV, anak muda bekas aktivis teater ini dianggap superstar.

Selain sentiasa bergaya dan stailo, Fahmi sentiasa bersedia berdepan kamera. Tidak perlu buang masa menyediakan soalan dan ditapis-tapis sebelum bersiaran.

Fahmi sama ada di set temubual atau diserbu wartawan, sentiasa spontan dan mesra soalan. Sikap berani mendepani tanggungjawab menjawab soalan.

Fahmi kini indikasi bagi tanda aras IQ dan EQ ahli politik. Anak muda ini bukan sembarangan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr Hatta Ramli paling ceria. Semakin tajam soalan menjeratnya di set, semakin pintar dia berjenaka.

Sekali pun ditekan pelbagai “soalan jahat”, Ahli Parlimen Lumut sentiasa berjaya mengelak perangkap soalan. Dia mahir mendepani kontroversi dengan “sense of humour”.

Setelah 18 bulan kerajaan baru, media massa sudah punya senarai penilaian. Menteri mana yang senang dan selalu bersedia, serta menteri mana pula yang banyak ragamannya.

Menteri kabur isu

Isu ini berlaku sejak dulu. Ini bukan soal parti mana menjadi kerajaan. Masalah menteri tidak peka isu atau tidak tahu isu – sudah lumrah.

Mudah cakap – ada kes menteri sah-sah kelihatan tidak tahu kepala ekor mengenai isu yang ditanyakan wartawan.

Masih ada menteri yang main bantai sedap mulut ketika menjawab soalan. Ini pun sejenis penyakit. Asal wartawan bertanya, dijawabnya polos begitu saja.

Wartawan bercelaru, sama ada mahu menyiar atau mengabaikan kecuaian jawapan menteri.

Namun, sudah wujud satu sumpahan. Silap cakap juga berita besar!

“Menteri kalau batuk depan kamera pun dah kira berita. Apa lagi kalau silap cakap,” kata wartawan.

Walaupun kenyataan menteri tidak tepat, media menyiarkan juga. Persaingan maklumat menyebabkan kenyataan salah fakta juga dianggap berita.

Menteri agaknya sentiasa sibuk atau barangkali kurang peka. Namun, pasukan menteri kena faham isu semasa. Menteri tidak sewajarnya nampak “blur” apabila berdepan media massa.

Ingat, kesilapan menteri satu berita sensasi! – 29 November, 2019.


* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen