Generasi lama 'pentingkan diri' hanya tahu kritik kerajaan, kata Zahid 


Asila Jalil

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Majlis Perasmian Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 Oktober, 2017.

GENERASI lama sangat kritikal terhadap pendatang baharu kerana tingkah laku mereka sendiri, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita juga tidak mahukan generasi lama, atau orang yang lebih tua sentiasa menuding jari, menyalahkan pendatang baharu kerana pada zamannya adalah yang terbaik dan zaman selepas itu tidak baik. 

“Ini juga merupakan sindrom pemikiran sempit yang timbul apabila seseorang itu mementingkan diri sendiri, katanya pada pembukaan Majlis Perasmian Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuala Lumpur. 

Beliau bagaimanapun tidak merujuk kepada mana-mana individu dengan kenyataannya itu. 

Pada majlis itu, Zahid turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada Istac untuk meneruskan pembangunan dalam penyelidikan berhubung dunia Melayu dan tamadun Islam. 

Beliau berkata, Istac juga akan menjadi sebuah institut yang akan dikenali sejajar dengan aspirasi kerajaan ke arah negara maju berpendapatan tinggi. 

“Saya harap menerusi Istac, kita mampu memberitahu masyarakat bahawa agama tidak pernah menjadi batasan untuk menghalang pembangunan negara. 

“Kita perlu lebih responsif terhadap keperluan terkini. Kita juga perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan dan tidak hanya berada dalam fikiran kita,” katanya. 

Zahid turut meminta untuk kekalkan nama Istac walaupun terdapat tambahan elemen baru Dunia Melayu dan Ketamadunan Islam ke dalam institusi itu. 

“Boleh tambah ketamadunan Melayu, Bugis, Minangkabau atau Jawa selagi nama Istac dikekalkan,” tambahnya. – 26 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen