SEBUAH syarikat pemaju di Pulau Pinang yang mana projek apartmen di bawahnya terbabit dalam insiden tanah runtuh baru-baru ini akan mencari penyelesaian untuk melindungi kepentingan pelanggan yang sudah membeli unit kediaman itu.
Peguam syarikat pemaju terbabit Lim Choo Hooi berkata, satu mesyuarat tergempar diadakan pagi ini oleh pihak pemaju, Taman Sri Bunga Sdn Bhd untuk menjelaskan perkara itu.
Beliau berkata mesyuarat itu diadakan selepas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta pihak pemaju mengadakan pertemuan dengan pelanggan untuk menjelaskan berhubung kejadian tanah runtuh itu dan status terkini projek terbabit.
“Perkara itu dibincangkan berikutan kenyataan ketua menteri pagi ini. Kami sedang menumpukan bagaimana untuk melindungi kepentingan pembeli unit apartmen itu.
“Pihak pemaju akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi untuk menjelaskan bagaimana penyelesaian akan dibuat dengan pelanggan,” kata Choo Hooi kepada The Malaysian Insight.
Terdahulu, Guan Eng berkata, syarikat pemaju, unit hartanah dari firma pembangunan BSG Property, diberi tempoh satu minggu untuk menyelesaikan perkara itu dengan pihak pembeli.
“Sekiranya gagal, kerajaan negeri akan campur tangan bagi pihak pembeli apartmen,” katanya pada satu sidang media di Komtar.
Tragedi tanah runtuh di tapak pembinaan Granito@Permai di Lorong Lembah Permai 3 di Tanjung Bungah Sabtu lalu menyebabkan 10 pekerja asing dan seorang warga Malaysia terbunuh.
Pihak berkuasa tempatan mengarahkan semua operasi pembinaan di tapak projek terbabit dihentikan serta merta.
Kerajaan negeri turut menyenaraihitamkan syarikat dan konsultan yang terbabit dalam pembangunan itu sehingga suruhanjaya siasatan negeri berhubung tragedi itu selesai mengadakan siasatan dan menyiapkan laporan insiden terbabit.
Pengarah Taman Sri Bunga Alfred Chew dalam satu kenyataan semalam berkata pemaju telah menubuhkan satu pasukan perunding untuk menjalankan siasatan berhubung insiden terbabit.
Katanya, firma kejuruteraan yang terkenal di Pulau Pinang, Arup Jururunding Sdn Bhd dilantik untuk membuat penilaian bebas bagi mencari punca runtuhan dan mencadangkan langkah keselamatan jangka pendek dan jangka panjang bagi mengelakkan tragedi yang sama berulang. – 26 Oktober, 2017.
Komen