MCA berhasrat membuka keahliannya kepada bukan Cina sebagai ahli bersekutu bagi menjadikan parti itu bukan lagi mewakili atau memperjuangkan kepentingan hanya satu kaum sahaja.
Cadangan itu antara tiga syor yang dikemukakan dalam pindaan perlembagaan parti yang akan dibentangkan pada perhimpunan agung tahunannya Ahad ini.
Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata pihaknya mendapat permohonan daripada masyarakat pelbagai kaum termasuk India, Kadazan dan Siam yang mahu menjadi ahli parti.
“MCA juga wajar memiliki penyokong daripada bangsa lain kerana pengundi kita terdiri daripada berbilang bangsa,” katanya, menyamakan hasrat itu seperti PAS yang mempunyai sayap penyokong.
“Sebelum ini kita bekerjasama dengan parti komponen, sekarang kita masih bekerjasama tetapi untuk membolehkan penyokong kita ada platform maka kita membuka keahlian bersekutu,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, di Kuala Lumpur, hari ini.
Chong menafikan tanggapan MCA mahu membuka pintu kepada ahli bukan Cina kerana tidak yakin dengan sokongan masyarakat Cina.
Katanya, ada perbezaan status antara ahli biasa dan ahli bersekutu, iaitu mereka tidak boleh bertanding jawatan dalam parti, sama seperti kelab penyokong di luar negara.
Beliau juga membayangkan MCA sedia mewujudkan jawatankuasa atau kelab sekiranya jumlah ahli bersekutu itu nanti sudah sampai ke tahap yang memerlukan stuktur demikian.
Chong dalam pada itu tidak menolak kemungkinan ahli bersekutu akan diberi peluang bertanding dalam pilihan raya.
Katanya, politik adalah sesuatu yang serba mungkin tetapi sekarang belum lagi masa untuk membincangkan hal itu.
“Jauh lagi nak bincang kalau mereka akan diberi kerusi untuk bertanding, biar presiden parti tentukan,” katanya.
Sementara itu, dua lagi perkara yang akan dipinda dalam perlembagaan melibatkan soal menurunkan haad umur keahlian daripada 18 tahun kepada 16 tahun.
MCA juga mahu menetapkan pemilihan parti hanya diadakan enam bulan selepas selesai pilihan raya umum, menjadikan jawatan parti dipilih lima tahun sekali.
Perhimpunan Agung Tahunan MCA pada Ahad ini akan dirasmikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Zahid Hamidi. – 28 November, 2019.
Komen