Wong selar dakwaan Mustapa berhubung bajet alternatif


Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen berkata, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamed tidak faham bajet alternatif Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 26 Oktober, 2017.

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamed perlu terima hakikat bahawa syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjejaskan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa dan bukannya cuba untuk memperlekehkan bajet alternatif Pakatan Harapan, kata Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.

“Bajet Alternatif Pakatan Harapan merupakan dokumen 75 muka surat yang menerangkan dasar, ramalan dan naratifnya. Namun alasan Mustafa untuk menjatuhkan bajet kami, terletak pada persoalan kami berhubung pengiraan GST.

Wong berkata, seksyen 2.2.2 Bajet PH bertajuk, “Mampukah kita hapuskan GST?” menjelaskan perancangan mereka bagaimana untuk mengimbangi kejatuhan hasil GST.

“Kami turut sediakan jadual pengiraan. Namun Mustapa memutuskan untuk tidak pedulikannya dan memilih untuk membuat kenyataan umum yang kita tiada perancangan itu. Ini adalah salah.”

Ketua Jawatankuasa Bajet PH itu juga berkata dakwaan Mustapa berhubung penggunaan angka PH boleh dipersoal juga tidak kukuh memandangkan beliau tidak memberi apa-apa hujahan balas.

Mustapa menyifatkan Bajet Alternatif PH, yang diumumkan semalam di Dewan Rakyat, merupakan ulangan janji lama.

Katanya, pakatan pembangkang, antara lain, menjanjikan penghapusan GST dan tol, serta menawarkan pengajian tinggi secara percuma.

Bajet alternatif terbaru itu kekurangan sumber, dan pembangkang telah melancarkan retorik untuk menutup kegagalannya menghasilkan agenda ekonomi yang boleh dipercayai, kata Mustapa. – 26 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen