Saya lebih praktikal sebagai ahli Parlimen Batu, kata Tian Chua


Noel Achariam

Naib Presiden PKR Chua Tian Chang berkata P Prabakaran memerlukan lebih banyak pengalaman untuk berkhidmat di kawasan bandar.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 November, 2019.

NAIB Presiden PKR Chua Tian Chang berkata beliau lebih sesuai mewakili penduduk di kawasan Parlimen Batu kerana mereka lebih mengenalinya dan beliau juga mempunyai hubungan yang baik dengan mereka.

“Terpulang kepada parti untuk memilih kerusi, tapi bagi saya, adalah lebih praktikal untuk terus berkhidmat di Batu.

“Rakyat mengenali saya. Saya bukan sahaja menjalinkan hubungan rapat dengan mereka tetapi juga ada banyak ikatan peribadi dengan pemimpin masyarakat dan penduduk di sini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau kini merupakan penasihat khas kepada Menteri Kerja Raya Baru Bian dan pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia.

Tian Chua kembali menjadi tumpuan apabila Mahkamah Tinggi baru-baru ini memutuskan beliau tidak pernah hilang kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya umum ke 14 dan bekas ahli Parlimen Batu itu boleh bertanding pada pilihan raya akan datang.

Susulan keputusan itu, terdapat gesaan untuk ahli Parlimen kawasan berkenaan P. Prabakaran meletakkan jawatan, dan memberi laluan kepada pilihan raya kecil kawasan berkenaan.

Prabakaran memenangi kerusi Parlimen Baru sebagai calon Bebas dengan sokongan PKR. Beliau kemudian menyertai parti itu.

Beliau yang berusia 23 tahun dan merupakan ahli Parlimen termuda di Malaysia, mahu meneruskan khidmatnya di Batu sehingga habis penggal.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, tiada keperluan untuk Prabarakan mengosongkan kerusi itu dan memberi laluan kepada Tian Chua.

Beliau bagaimanapun berkata, isu itu bagaimanapun masih belum dibincangkan oleh pimpinan parti.

“Prabakaran diberi mandat oleh rakyat dan kita perlu hormatinya, manakala Tian Chua merupakan pemimpin parti yang penting.”

Tian Chua bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight beliau akan bertanding pada pilihan raya umum ke 15, namun enggan mengulas ketika ditanya sekiranya Prabakaran perlu berkhidmat sehingga habis penggal.

“Kita (PKR) telah meletakkan calon yang betul untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya boleh berbuat demikian untuk Batu, tapi sekiranya parti ada cadangan lain (kerusi lain) kita boleh bincangkannya.”

Menurut Tian Chua sukar untuk menjangkakan beliau (Prabakaran) memberikan perkhidmatan di tahap yang sama pada penggal pertama sebagai ahli Parlimen.

“Ia memerlukan banyak pengalaman untuk menangani isu di sini. Sukar untuk berikan perkhidmatan pada tahap yang sama, sebagaimana yang saya berikan.

“Tidak adil untuk menjangkakan beliau berikan perkhidmatan sebegitu pada penggal pertama sebagai ahli Parlimen. Ia memerlukan banyak pengalaman.”

Beliau berkata, pengundi bandar sangat mencabar dan mereka menjangkakan ahli Parlimen mereka sentiasa ada untuk hadir dan penuhi keperluan mereka.

“Saya sudah dua penggal di sini dan ia akan menjadi tiga penggal (jika tiada kes mahkamah).

“Beliau perlukan pengalaman dan perlu tahu bahawa pengundi bandar lebih mencabar,” tambah Tian Chua.– 28 November, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen