Jambatan mercu tanda Kuching akan dibina semula 


Desmond Davidson

Tergantung pada ketinggian 18 meter merentasi Sungai Sarawak, jambatan yang berusia 78 tahun itu sebelum ini runtuh pada 7 Oktober, 2004. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2017.

JAMBATAN gantung Satok merupakan mercu tanda bandaraya Kuching yang runtuh 13 tahun lalu, akan dibina semula.

Jambatan yang mula dibuka ada 1926 itu dibina untuk saluran paip air 12 inci menyeberangi sungai bagi menyalurkan bekalan air bersih dari Bukit Matang ke Kuching.

Bagaimanapun, jambatan berukuran 130 meter panjang dengan kelebaran 2.3 meter itu kemudiannya dibuka dan digunakan sebagai laluan kepada pepejalan kaki dan kenderaan ringan.

Tergantung pada ketinggian 18 meter merentasi Sungai Sarawak, jambatan yang berusia 78 tahun itu sebelum ini runtuh pada 7 Oktober, 2004.

Berikutan ia merupakan satu-satunya jambatan yang merentasi Sungai Sarawak ketika itu, berat kenderaan yang menggunakannya dihadkan kepada 3,000 paun.

Malah suatu ketika dahulu pernah berlaku, bas era pasca-perang yang hanya membawa enam penumpang terpaksa turunkan penumpang dari kenderaan dan berjalan di belakangnya ketika merentasi sungai berkenaan untuk mengurangkan berat.

Sarawak itu juga pernah ‘dipopularkan’ oleh bekas jurulatih pasukan Sarawak, Awang Mahyan, yang berjanji akan terjun daripadanya sekiranya pasukan Sarawak layak ke suku akhir Piala Malaysia buat pertama kalinya pada tahun 1988.

Terjunan yang dibuat Awang Mahyan turut disertai ahli pasukannya serta peminat.

Lebih 13 tahun selepas ia runtuh, pembinaan semula jambatan Satok yang ‘baru’ diumumkan semalam oleh Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg.

Jambatan baharu yang dijangka menelan kos sebanyak RM8 juta itu, akan dibina di tapak lama dan dijangka siap pada penghujung tahun 2019.

Ia turut dijangka akan menjadi tarikan popular gerai makan Kubah Ria dan pasar minggu Medan Niaga Satok di Matang yang terletak di seberang sungai berkenaan.

Sebelum pembukaan Jambatan Tun Abdul Rahman Yaakub pada tahun 1983, jambatan lama itu yang disifatkan oleh Abang Johari sebagai “karya kejuruteraan” ketika itu, merupakan satu-satunya jambatan untuk kegunaan masyarakat di Kuching.  – 26 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen