Tanah pertanian terbiar tak mudah dijumpai, kata Daim


Ragananthini Vethasalam

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin berkata ada kira-kira 117,000 hektar tanah terbiar yang boleh digunakan untuk pertanian tetapi sukar untuk mendapatkannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefly, 27 November, 2019.

ADA kira-kira 117,000 hektar tanah terbiar yang boleh digunakan untuk penanaman di negara ini tetapi mendapatkannya untuk tujuan pertanian bukan sesuatu yang mudah, kata Daim Zainuddin.

Bekas menteri kewangan itu berkata anggaran tanah yang ada adalah kira-kira 400,000 hektar tetapi ada yang tidak boleh digunakan.

“Tetapi yang boleh buat (pertanian) kira-kira 117,000 hektar. Itu pun mereka tak mahu beri,” katanya merujuk kepada kerajaan negeri di negara ini.

Tanah adalah hak negeri dan kerajaan Persekutuan tidak ada kawalan atas kegunaannya.

Menurutnya beliau telah menulis kepada kerajaan negeri meminta mereka mengetepikan plot untuk membantu golongan yang berminat meneroka bidang pertanian. 

“Saya kata anda ketepikan sebidang tanah. Kami tak mahu ‘freehold’. Kami hanya mahu 30 tahun,” katanya di forum Asian Institute & Leadership (Asli) mengenai “Kemiskinan di Malaysia: Realiti vs Persepsi”.

Daim berkata beliau mahu menjadikan sektor pertanian “seksi” dalam menjana pendapatan lumayan negara.

“Saya cuba menjadikan pertanian seksi melalui teknologi, seksi dalam erti menghasilkan duit,” katanya.

Beliau berkata adalah penting untuk mengurangkan import makanan yang mencecah RM51.28 bilion supaya Malaysia cukup dalam keselamatan dan kawalan makanan.

Daim juga berkata beliau menentang penanaman padi semasa beliau berkhidmat.

“Semasa saya jadi menteri saya katakan janganlah kita menanam padi kerana kita perlu beri subsidi setiap masa. Selagi kita beri subsidi, petani padi akan kekal miskin,” katanya.

Bekas negarawan itu berkata beliau telah mencadangkan penanaman tebu bukannya padi. – 27 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen