Abu Chin Peng: Mat Sabu elak jawab, serah pada KDN


SM Amin

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menyerahkan isu bawa balik abu mayat Chin Peng kepada KDN untuk disiasat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2019.

MENTERI Pertahanan Mohamad Sabu enggan mengulas tindakan sekumpulan individu membawa masuk abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng ke Malaysia.

Mohamad berkata, beliau menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjalankan siasatan dan hanya akan mengeluarkan kenyataan selepas siasatan selesai. 

“Saya tidak buat apa apa kenyataan sehingga KDN mengeluarkan hasil siasatan.

“Sehingga KDN mengeluarkan hasil siasatan.. baru saya akan komen,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada tindakan membawa pulang abu mayat Chin Peng akan mengguris hati perasaan polis dan tentera yang berjuang melawan komunis dahulu. 

Abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk ke negara ini dua bulan lalu dan ditabur di laut serta di kawasan Banjaran Titiwangsa.

Abu mayatnya dilaporkan tiba di Ipoh pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Azis Jamman sebelum ini menegaskan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan membawa pulang abu mayat Chin Peng ke negara ini. 

Jelasnya, kerajaan kekal dengan dasar melarang abu mayat Chin Peng dibawa masuk sebagaimana diputuskan sebelum ini dan akan menyiasat kesahihannya.

Susulan daripada itu kata Azis, KDN akan menyiasat kesahihan mengenai dakwaan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu dibawa masuk ke Malaysia.

Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak pada 1924 meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada 16 September 2013. Usianya 90 tahun.

Kerajaan pada ketika itu memutuskan larangan kepada mana-mana pihak bagi membawa mayat atau pun abunya pulang ke Malaysia untuk disemadikan. – 27 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen