Najib salah guna kuasa, kata Muhyiddin


Noel Achariam

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang bercakap di depan hampir 1,000 hadirin di kubu kuat Barisan Nasional di Alor Gajah, Melaka mengatakan Najib Razak boleh lakukan apa yang dia lakukan kerana dia ada kuasa selaku perdana menteri dan menteri kewangan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 Oktober, 2017.

MUHYIDDIN Yassin malam tadi menuduh Perdana Menteri Najib Razak menyalah guna kuasa untuk merompak negara menerusi dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Presiden Bersatu itu yang bercakap di depan hampir 1,000 hadirin di kubu kuat Barisan Nasional di Alor Gajah, Melaka mengatakan Najib boleh lakukan apa yang dia lakukan kerana dia ada kuasa selaku perdana menteri dan menteri kewangan.

“Saya tengok apa yang dia buat. Dia bertindak sendirian sebagai perdana menteri dan menteri kewangan, dia ada kuasa untuk buat apa dia suka,” kata Muhyiddin yang merupakan timbalan perdana menteri sebelum digugurkan kerana lantang bersuara menentang salah tadbir 1MDB.

“Saya berada bersamanya ketika dia jadi perdana menteri. Mulanya tak ada masalah, tapi bila anda sudah berkuasa terlalu lama, ketika itulah orang mula berubah dan salah guna kuasa.

“Dia terlibat dalam skandal terbesar negara dan di dunia,” katanya merujuk kepada skandal kewangan rentas negara 1MDB yang sedang disiasat di beberapa buah negara termasuklah Amerika Syarikat, Singapura dan Switzerland.

Berbilion ringgit didakwa diselewengkan daripada 1MDB. Najib, bagaimanapun, dibebaskan daripada sebarang salah laku oleh Peguam Negara Mohamed Apandi Ali.

“Najib kata 1MDB adalah dana pelaburan untuk bangunkan negara, tetapi dia guna untuk tipu kita.

“Dia rela korbankan negara untuk kepentingan peribadi,” kata Muhyiddin pada Jelajah Semarak di Alor Gajah malam tadi.

Tindakan Najib itu bawa bencana kepada negara, katanya lagi.

“Jika dia melabur dan rugi, ada asasnya. Tetapi dengan 1MDB ia adalah salah guna kuasa.”

Muhyiddin juga mengatakan walaupun usianya sudah mencecah 70 tahun, masanya belum tiba untuk beliau bersara.

“Kita perlu terus berjuang untuk memelihara negara dan beri rakyat kerajaan yang lebih baik daripada Barisan Nasional, iaitu Pakatan Harapan.”

Muhyiddin juga menyentuh tentang bajet alternatif PH yang diumumkan semalam sekiranya pembangkang berkuasa termasuklah menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), menghapuskan tol lebuhraya, menyediakan pendidikan percuma di universiti awam dan menjimatkan RM20 bilion dengan menghapuskan pembaziran dan korupsi. – 26 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen