Beri kami 5 tahun, kata Mukhriz


Noel Achariam

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir, memberi amaran dengan krisis ekonomi semasa dan salah tadbir kewangan negara, memberikan satu penggal lagi kepada Najib Razak untuk mentadbir merupakan satu bencana kepada semua. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 Oktober, 2017.

BERI kami lima tahun untuk ubah negara dan jika kami gagal, singkir sahaja kami. Itu janji Mukhriz Mahathir pada perhimpunan di depan hampir 1,000 orang di Alor Gajah, Melaka malam tadi.

Beliau memberi amaran dengan krisis ekonomi semasa dan salah tadbir kewangan negara, memberikan satu penggal lagi kepada Najib Razak untuk mentadbir merupakan satu bencana kepada semua.

“Rakyat perlu pilih parti yang jaga keperluan mereka dan selamatkan negara,” kata timbalan presiden Bersatu itu.

“Dengan ekonomi yang tengah teruk, kos sara hidup tinggi, semuanya boleh hilang dalam sekelip mata.”

Katanya Pakatan Harapan (PH) hanya memerlukan lima tahun untuk membuktikan kepada rakyat Malaysia mereka boleh mengubah segalanya, menggesa khalayak untuk menyokong pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

PH dianggotai PKR, DAP, Bersatu dan Amanah.

“Tetapi jika tiada perubahan dalam masa lima tahun, singkir sahaja kami,” katanya.

Mukhriz bercakap di jelajah Selamatkan Malaysia, Selamatkan Rakyat juga dikenali sebagai Jelajah Semarak yang sepatutnya turut menampilkan penceramah utama Dr Mahathir Mohamad. Beliau yang merupakan pengerusi Bersatu bagaimanapun tidak hadir kerana tidak berapa sihat.

Ada kekecewaan dan keluhan apabila Mukhriz yang naik pentas dan meminta maaf kerana ayahnya tidak dapat hadir.

“Dr Mahathir sudah hadir banyak majlis di Kedah, Perlis dan negeri lain. Dia perlu rehat,” katanya.

Mukhriz juga menggesa khalayak yang kebanyakannya penyokong Umno supaya tidak membuang masa dan “lompat kapal” menyertai Bersatu.

“Kita pernah duduk dalam Umno kerana kita percaya perjuangan kita tulen. Kita bekerja keras untuk dapat keyakinan rakyat. Tetapi Umno yang kita kenal sudah berubah.

“Jika Dr Mahathir, Muhyiddin Yassin dan ramai lagi orang boleh tinggalkan Umno, apa yang anda tunggu,” katanya disambut sorakan khalayak yang berdiri di bawah lima khemah besar di depan deretan kedai di Jalan Sungai Petani Permai Dua Utama.

Mukriz menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga menjadi punca peningkatan kos sara hidup dan gaya hidup ikat perut yang terpaksa ditanggung ramai rakyat Malaysia.

“Dan jika ada orang yang patut disalahkan, orang itu adalah Najib dan sekutunya.”

Jelajah Semarak dilancarkan pada April, hampir sama dengan kempen “Selamatkan Malaysia, Hentikan Kleptokrasi” anjuran Pakatan Harapan. Kempen itu berakhir dengan himpunan besar-besaran di Petaling Jaya, Selangor pada 14 Oktober lepas.

Jelajah Semarak pula dianjurkan Bersatu. Penceramahnya sentiasa terdiri daripada Dr Mahathir, Mukhriz dan Presiden Muhyiddin Yassin.

Walaupun begitu mesejnya masih sama. Pentadbiran korup Najib perlu dijatuhkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14. – 26 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen