BERDASARKAN pengalaman 25 tahun dan berada di lima organisasi media, saya masih berhubung rapat dengan rakan-rakan editor dan wartawan.
Selepas 18 bulan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan, wujud keyakinan – banyak menteri sudah menemukan pasukan kerja yang mantap.
Pasukan yang sudah cukup matang serta memahami peranan dan harapan masyarakat terhadap menteri dan kementerian.
Namun, makin kerap bertemu atau minum kopi dengan rakan media, makin banyak rungutan terhadap pasukan kerja menteri diluahkan.
Saya tidak fikir, isu ini patut disenyapkan. Harus disuarakan supaya orang menteri menyedari perkara ini demi kebaikan.
“Apa nak kata, setiausaha akhbarnya (SUA) jenis macam itu,” rungut wartawan muda dari portal berbahasa Inggeris.
Mimik mukanya sangat sinis. Wartawan generasi 2000-an mempunyai keupayaan mengkritik secara lebih terbuka.
Wartawan alaf baru terutama di platform bebas politik tidak mempunyai kepentingan untuk membodek menteri. Mereka lebih “daring” dan terbuka.
“SUA pun tak faham cara membantu tugas menteri. Malah, banyak kesilapan menteri dalam isu media berlaku kerana SUA tak cekap,” kata wartawan itu lagi.
Saya mendengar dan terkedu.
“Maaf cakaplah, isu SUA mentaliti tadika, dah jadi umpatan terbuka. Ini komen biasa kalau kami orang media berbual,” jelasnya.
Saya agak bersetuju. Sejak PH membentuk kerajaan, bukan hanya isu SUA, tetapi fungsi pasukan di pejabat menteri dan timbalan menteri dibualkan.
Sebenarnya “orang menteri” turut diperhatikan secara serius oleh rakan-rakan media.
Menilai prestasi pasukan menteri
Sangat sarkastik mendengar rakan editor dan wartawan melabel: “Masih ada menteri yang pasukan kerjanya jauh di bawah prestasi.”
Peranan SUA sebagai jambatan menteri dengan media masih berserabut. Ada SUA dianggap halimunan. Ada atau tiada sama saja.
Ada editor yang terkial-kial mencari SUA hingga pagi raya. Pesanan teks tidak dibaca. Lebih pedih, apabila diulang teks pesanan, jawapan SUA boleh buat editor separuh gila.
“Awak fikir SUA tak cuti rayakah?”
Jawapan SUA bernada marah. Menyindir editor media supaya menghormati privasi SUA untuk bercuti raya.
Ini antara kes klasik menyorot sikap orang di sekitar menteri.
Seorang wartawan senior pernah mengeluh dalam grup WhatsApp.
“Dua bulan lepas, pejabat YB Menteri dah setuju. Kita pun dah discuss program ini siaran langsung. Malangnya, sehari sebelum bersiaran, selamba saja minta batalkan,” rungutnya.
Seorang rakan lain yang bertemu janji dengan menteri di Putrajaya, terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur.
SUA membuat panggilan telefon 15 minit sebelum wartawan tiba di lokasi.
“Maaf, YB minta tangguhkan pertemuan sebab tak sihat,” kata SUA.
Anehnya, esok terpacul di Instagram dan Facebook. Menteri yang sakit berada dalam keadaan sihat. Foto posing sakan bertemu sekumpulan pimpinan muda politik di rumahnya.
Rakan wartawan berasa sangat sakit hati.
“Aku dah kena kencing,” bunyi WhatsApp kepada saya.
Isunya: Takkan alasan “menteri sakit” satu-satunya idea cerdik untuk berbohong.
Editor pun boleh kena “sound”
Seorang editor menerima panggilan telefon daripada SUA menteri. Selepas memberi salam, suara SUA jelas marah-marah: “Kau editor, tapi letak tajuk salah. YB tak cakap macam tu!”
Harus diingat. Editor media bukan wartawan pelatih. Nada teguran begitu dianggap biadap.
Kalau menteri mengamuk, itu bukan tugas SUA menengking editor.
Ini antara kes-kes klasik ragaman pasukan kerja menteri. Bagi media, SUA orang paling hampir bagi hubungan wartawan dan menteri.
Kalau SUA berasa dia pun bertaraf menteri, susahlah jadinya.
Bot menteri nampaknya sarat barat muatannya. Kata orang dipenuhi “think tank”. Tapi bukan aneh, orang menyindirnya “tingtong”.
Menteri kena mulai mengenal pasti. Mana penyumbang dan mana yang sekadar jadi beban menumpang. – 27 November, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen