MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub sepatutnya ditukar dan bukannya ketua setiausaha (KSU) susulan kontroversi tender di kementerian itu, kata Ismail Sabri Yaakob.
Ahli Parlimen Bera itu berkata menteri berkenaan perlu mengaku bersalah dan tidak menunding jari kepada orang lain kerana beliau mengetuai kementerian.
“Segala yang berlaku dalam kementerian, menteri perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana beliau adalah ketua mereka. Bukannya menuduh KSU,” kata Ismail Sabri.
Pada Jumaat, KSU Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Mohd Sallehhuddin Hassan ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Semalam, The Malaysian Insight melaporkan mengenai pertukaran Sallehhuddin ekoran dakwaan terlibat dalam pemberian tender padi bernilai RM1.4 bilion.
Sumber kerajaan berkata langkah itu dibuat pada Jumaat, sehari selepas Presiden MCA Wee Ka Siong membangkitkan di Parlimen mengenai pemberian kontrak secara terus yang bernilai RM1.4 bilion.
Naib presiden Umno berkata alasan yang diberikan oleh menteri yang beliau tidak tahu mengenai tender terbuka dibuat oleh KSU tidak boleh diterima dan ketua setiausaha negara (KSN) dan ketua pengarah JPA harus mempertimbangkan semula keputusan mereka.
“Mustahil menteri tidak tahu tentang tender terbuka yang dibuat oleh KSU.
“Kecuali pegawai (Salehhuddin) tidak melakukan kerja atau menteri sendiri tidak buat kerja kerana beliau tidak tahu apa yang terjadi dalam kementeriannya sendiri. Dalam hal ini, menteri yang harus ditukar.
“Kami (pihak pembangkang) berharap KSN dan ketua pengarah JPA mengambil tindakan yang sewajarnya dan tidak tunduk kepada tekanan. Jika boleh, tarik balik keputusan itu,” katanya.
Ismail Sabri berkata, tindakan sedemikian menunjukkan kementerian hanya mencari kambing hitam bagi menyelamatkan menteri.
“Apabila mereka melakukan kesilapan, mereka mencari kambing hitam dan dalam hal ini, kakitangan kerajaan dikorbankan,” kata Ismail Sabri. – 26 November, 2019.
Komen