LAPORAN siasatan ke atas dua ahli PKR yang dipecat masih relevan meskipun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berkata agensi anti rasuah itu terkhilaf menghantar surat dan nasihat kepada parti itu supaya mengambil tindakan, kata Fahmi Fadzil.
“Sebenarnya kekhilafan itu tidak menafikan isi kandungan laporan kerana surat sudah dihantar bersama-sama laporan. Bagi kami dapatan laporan itu dan syornya tetap boleh digunapakai.
“Parti perlu tegas dalam isu menetang rasuah, dan bagi kami hasil laporan itu cukup menyeluruh, mendalam dan bagi kami tidak jadi masalah untuk tetap menggunakannya sebagai asas (tindakan tatatertib),” kata pengarah komunikasi PKR itu kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki dalam kenyataan semalam berkata agensi itu terkhilaf menghantar surat yang memberi nasihat kepada PKR agar mengambil tindakan terhadap dua anggotanya yang disyaki terlihat rasuah.
“SPRM mengakui terdapat kekhilafan yang dilakukan oleh Ketua Cawangan Laporan SPRM (LSPRM) menerusi sepucuk surat kepada parti berkenaan yang mencadangkan tindakan tatatertib kerana melanggar kod etika parti berkenaan.
“Mengikut garis panduan tatatertib yang perlu diikuti SPRM, laporan sesuatu salah laku hanyalah dihantar kepada agensi dan kementerian kerajaan persekutuan atau negeri.
“Ia tidak tertakluk kepada mana-mana parti politik.
“Bukan menjadi polisi kepada SPRM untuk membuat laporan sedemikian kepada mana-mana parti politik berhubung salahlaku anggotanya,” kata Azam semalam.
Lembaga Disiplin PKR pada Ahad mengumumkan Ketua Cabang Bera Zakaria Abd Hamid dan seorang lagi ahli, Ismail Dulhadi dengan serta merta atas dakwaan rasuah semasa pemilihan parti tahun lepas.
Pengerusi lembaga disiplin parti, Ahmad Kassim berkata keputusan itu dibuat selepas menerima nasihat daripada SPRM dalam surat bertarikh 23 Oktober tahun ini.
Penyiasatan SPRM ekoran laporan yang difailkan oleh Penyelaras Pemuda PKR Ahmad Syukri Che Ab Razak tahun lepas.
Zakaria didakwa menawarkan kontrak bernilai RM20,000 dan membiayai sekurang-kurangnya RM300,000 dalam satu pertemuan dengan pemimpin tempatan pada 1 September 2019, ketika bertanding bagi kerusi majlis kepimpinan pusat PKR.
Sementara itu, Fahmi menepis kenyataan Naib Presiden PKR Chua Tian Chang bahawa pemecatan tersebut tidak adil dan dilakukan secara tergesa-gesa. – 26 November, 2019.
Komen