MARI datang ke pejabat Batu dan lihat sendiri bagaimana kawasan itu membelanjakan dananya, kata Ahli Parlimen P. Prabakaran, mencabar pengkritiknya.
Jika tidak, mereka boleh menunggu akaun itu disiarkan pada Februari depan, kata ahli Parlimen kali pertama itu kepada The Malaysian Insight.
“Semuanya dikira. Jika mereka hendak tahu apa yang saya belanjakan, mereka boleh datang pejabat saya.”
Prabakaran berkata beliau membelanjakan sejumlah besar daripada peruntukan RM1.5 juta diberikan kepada kawasannya, tetapi ahli akar umbi partinya mempersoalkan bagaimana ia digunakan.
“Dalam hanya beberapa bulan beliau membelanjakan hampir semua wang itu dan apa yang kami tahu hanya tinggal RM20,000. Selama tiga bulan, beliau bekerjasama dengan kami (PKR) tetapi kemudian dia buat sendiri,” kata ahli parti.
“Kami diberitahu beliau beri wang kepada masjid dan sekolah, tetapi adakah ia benar? Ada bukti?,” kata seorang ahli PKR yang enggan dinamakan.
Prabakaran menafikan tuduhan itu, berkata wang berkenaan dibelanjakan dengan baik untuk kawasan itu.
“Saya akan keluarkan akaun pada Februari tahun depan kerana saya perlu tunjukkan kepada orang ramai.
“Sekarang saya tidak boleh cakap banyak kerana kami masih dalam proses memuktamadkan peruntukan itu,” katanya.
Minggu lalu, sumber daripada pejabat Prabakaran memberitahu The Malaysian Insight bahawa peruntukan disediakan kepada ahli Parlimen itu oleh kerajaan persekutuan pada Februari dengan syarat ia perlu digunakan hingga September.
Ketika tahun hampir berakhir, Prabakaran berkata dana sepatutnya tidak ada lagi kerana perbelanjaan sudah selesai supaya semua akaun dapat ditutup.
Katanya, laporan mengatakan beliau membelanjakannya dengan terlalu cepat, menunjukkan beliau aktif dalam membantu rakyat di kawasannya.
Prabakaran berkata tuduhan beliau tidak bekerjasama dengan PKR adalah tidak berasas.
“Hingga hari ini saya masih bekerja dengan PRK dan saya tidak tahu kenapa mereka berkata sebaliknya,” katanya. – 26 November, 2019.
Komen