Calon Anwar gagal jadi senator kerana sabotaj, kata sumber


Nabihah Hamid

Wujud unsur sabotaj untuk memastikan usul mencalonkan Pengerusi PKR Melaka Halim Bachik sebagai senator digagalkan. – Gambar Facebook, 26 November, 2019.

TERDAPAT unsur sabotaj untuk memastikan usul mencalonkan Pengerusi PKR Melaka Halim Bachik sebagai senator digagalkan, dakwa sumber dalaman parti.

Menurut sumber, dua wakil rakyat PKR sengaja tidak hadir semasa persidangan DUN semalam kerana tidak menyokong calon pilihan presiden parti, Anwar Ibrahim.

Sumber yang dekat dengan pemimpin tertinggi PKR berkata, perkara ini juga merupakan satu lagi kesan pergeseran antara Anwar dan timbalannya, Azmin Ali.

Dua Adun yang tidak hadir ke persidangan itu adalah wakil rakat Machap Jaya Ginie Lim dan Adun Rumbia Muhammad Jailani Khamis.

“Kita memang tahu, YB Ginie adalah penyokong kuat Azmin. Jailani juga penyokong Azmin dan tidak sebulu.

“Dua exco ini tiada sewaktu nama (Halim) diusulkan ketua menteri Melaka. Mereka tidak mahu calon senator Anwar menang.

“Anwar sebelum ini lobi nama Halim untuk calon senator,” kata sumber yang enggan dinamakan disebabkan perkara sensitif itu.

Pencalonan Halim Bachik sebagai senator pilihan PKR diusulkan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari yang menyifatkan penyelaras DUN Tanjung Bidara itu individu berwibawa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2019.

Ketidakhadiran itu menyebabkan Halim yang juga penyelaras DUN Tanjung Bidara hanya mendapat 12 undi daripada 25 Adun yang hadir.

Ia gagal mengatasi undi daripada 13 Adun Umno yang menentang usul pelantikannya.

Seorang lagi yang tidak hadir adalah Adun Gadek daripada DAP yang masih ditahan polis kerana disyaki terlibat dengan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam.

Ketua Pembangkang Melaka Idris Haron pula menjelaskan, mereka menentang pencalonan itu kerana wakil rakyat kerajaan sentiasa menyalahkan BN semasa perbahasan.

Ia tiada kaitan dengan sebarang unsur sabotaj atau komplot dengan dua wakil rakyat PKR yang tidak hadir itu, kata bekas ketua menteri itu.

Jelasnya, beliau berasa tersinggung dan tidak berpuas hati dengan ucapan Adun Kelebang Gue Teck sewaktu sesi perbahasan terdahulu.

“Kita tiada rancang untuk sabotaj nama calon yang diusulkan ketua menteri. Kami tolak sebab Adun Klebang sebelum itu berbahas hendak salahkan BN saja.

“Saya tidak rancang apa-apa. Saya dengan Jailani tidak baik, dengan Ginie pun tidak bertegur,” kata Idris kepada The Malaysian Insight.

Pencalonan Halim sebagai senator pilihan PKR itu diusulkan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari yang menyifatkan penyelaras DUN Tanjung Bidara itu sebagai seorang individu berwibawa.

Speaker DUN Melaka Omar Jaafar menangguhkan persidangan apabila Dewan menolak cadangan Adly untuk melantik Halim sebagai senator.

The Malaysian Insight berusaha mendapatkan reaksi Ginie dan Jailani mengenai dakwaan sabotaj itu. – 26 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen