Penduduk TTDI lebih berhak dapat bantuan guaman percuma, kata Yeoh


Noel Achariam

Hannah Yeoh berkata peguam terkenal Gopal Sri Ram tidak perlu memberi khidmat secara pro bono untuk mempertahankan keputusan projek Taman Rimba Kiara bagi pihak DBKL. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2019.

PENDUDUK Taman Tun Dr Ismail (TTDI) lebih berhak mendapatkan bantuan undang-undang percuma bagi kes Taman Rimba Kiara dan bukannya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Yeoh berkata peguam terkenal Gopal Sri Ram tidak perlu bekerja secara percuma untuk mempertahankan keputusan pembangunan yang dibuat oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Mereka (DBKL) tidak memerlukan bantuan kerana mempunyai sumber kewangan yang besar,” katanya sambil menambah ia merupakan salah satu dewan bandar raya terkaya di negara ini.

“Sementara itu, para penduduk pula terpaksa mengutip duit dan mengumpul dana sendiri untuk menyelamatkan taman kejiranan mereka.

“Saya berharap Menteri Wilayah Persekutuan (Khalid Samad) sedar bahawa penduduk KL pengundi yang mendapatkan maklumat dan penjelasan beliau mengenai tawaran pro bono ini tidak masuk akal.”

Yeoh, yang merupakan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian sebagai respons kepada pendedahan Khalid Samad yang bekas hakim Mahkamah Persekutuan Sri Ram menawarkan khidmat secara pro bono untuk DBKL bagi kes kontroversi Taman Rimba Kiara.

Kementerian Wilayah Persekutuan menafikan Sri Ram dibayar “sejumlah besar” wang untuk membantu pasukan peguam mereka dalam kes pertikaian pembangunan.

“Harap maklum beliau sebenarnya menawarkan perkhidmatannya secara pro bono kepada DBKL untuk kes ini. Apabila tawaran ini dirujuk kepada firma guaman yang mewakili DBKL, ia bersetuju untuk menerimanya.

“Oleh itu, tuduhan DBKL membelanjakan sejumlah besar wang untuk perkhidmatannya adalah palsu dan tidak berasas,” kata Kementerian Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan semalam.

Kes ini berhubung rayuan yang difailkan oleh penduduk TTDI untuk membalikkan keputusan Mahkamah Rendah menolak cabaran semakan kehakiman mereka mengenai kelulusan pembangunan Taman Rimba Kiara.

Penduduk menentang cadangan pembinaan sembilan blok pangsapuri dalam usaha di antara Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Memang Perkasa Sdn Bhd, anak syarikat Malton Bhd.

DBKL meluluskan usaha sama itu pada 2014, yang penduduknya dakwa akan memusnahkan 10 hektar salah satu kawasan hijau yang terakhir di Kuala Lumpur.

Khalid berunding bagi pelan pengecilan saiz projek yang terdiri daripada empat blok pangsapuri perkhidmatan dan 204 unit rumah mampu milik, yang mana kebanyakannya ditolak oleh para penduduk.

Penduduk kini bimbang DBKL mengupah orang besar untuk menentang mereka di mahkamah.

Sri Ram muncul semasa pendengaran awal pada Jumaat sebagai peguam utama bagi pihak DBKL.

Beliau juga mengetuai pasukan pendakwaan dua kes 1MDB yang sedang berlangsung melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak, yang beliau akui dilakukan secara pro bono. – 26 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen