PIHAK pendakwa akan mendakwa empat suspek lelaki tidak bernama yang masih bebas berkaitan pembunuhan Kim Jong-nam.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Iskandar Ahmad berkata ada peruntukan undang-undang untuk mendakwa suspek yang tidak hadir ke mahkamah.
“Nanti, tapi ia pasti. Undang-undang membenarkan kami melakukannya,” kata Iskandar kepada pemberita selepas perbicaraan hari kesepuluh ditangguhkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Apabila ditanya apakah kes pendakwa akan terjejas memandangkan empat suspek lelaki itu masih bebas, Shaharuddin menjawab: “Ia tak akan menjejaskan kes kami. InsyaAllah, kami boleh kes ini (kepada kesimpulan).”
Pegawai Penyiasat ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz sebelum ini telah memberi keterangan bahawa polis mempunyai nama samaran bagi empat suspek lelaki itu, iaitu “Mr Y”, “Mr Chang”, “James” dan “Hanamori”.
Dia memberitahu mahkamah yang pihak polis tidak mempunyai maklumat lebih lanjut mengenai keempat-empat lelaki.
Mereka dikatakan bekerjasama dan membimbing Doan Thi Huong dan Siti Aisyah untuk menyapu bahan kimia di muka Jong-nam di klia2 pada 1 Februari.
Bebrapa hari selepas serangan itu, polis mengeluarkan nama keempat-empat warga Korea Utara terbabit - Ri Ji Hyon,33, Hong So Hac,34, O Jong Gil,55 dan Ri Jae Nam,57 - sebagai suspek. Mereka melarikan diri dari negara ini sebaik saja Jong-nam mati.
Satu notis merah Interpol juga dikeluarkan untuk keempat-empat mereka pada 16 Mac.
Perbicaraan masih lagi belum dapat menentukan sama ada mereka adalah empat suspek yang sama disebut pihak pendakwa.
Iskandar berkata peranan yang keempat-empat lelaki itu akan didedahkan pihak pendakwa di mahkamah.
“Malah, kalau anda mengikuti kes ini, kami telah menunjukkan Y dan Chang. Jadi, mungkin esok kami akan tunjuk dua lagi suspek yang masih bebas.”
Ditanya jika lelaki-lelaki itu berperanan penting dalam kematian Jong-nam, Iskandar berkata keempat-empat suspek tidak bernama itu mempunyai “niat yang sama” dengan Doan dan Siti Aisyah.
“Jadi, kami akan bina kes bahawa Siti dan Doan mempunyai hubungan dengan empat suspek yang masih bebas.”
Seksyen 34 kanun Keseksaan menyatakan:
“Setiap orang yang bertanggungjawab ke atas perbuatan yang dilakukan oleh semua orang, ia sama seperti dilakukannya sendiri.
“Apabila sesuatu jenayah dilakukan beberapa orang, untuk tujuan yang sama, setiap orang itu akan bertanggungjawab ke atas perbuatan itu dengan cara yang sama seolah-olah perbuatan itu dilakukannya sendiri.
Perbicaraan bersambung esok. – 25 Oktober, 2017.
Komen