Suruhanjaya siasatan awam tanah runtuh di Pulau Pinang ditubuhkan


Looi Sue-Chern

SURUHANJAYA Siasatan Negeri mengenai tanah runtuh di tapak pembinaan di Lorong Lembah Permai 3 di Tanjung Bungah, Pulau Pinang hingga mengorbankan 11 orang akan merangkumi pelbagai aspek insiden itu, daripada bagaimana projek pangsapuri itu diluluskan hinggalah kepada punca tragedi.

Ketua Menteri Lim Guan Eng ketika mengumumkan penubuhan suruhanjaya itu hari ini berkata siasatan itu akan menentukan punca kegagalan cerun sementara di tapak itu.

Skop siasatan itu juga termasuk meneliti prosedur dalam meluluskan projek pangsapuri 50 tingkat itu oleh pemaju swasta, Taman Sri Bunga Sdn Bhd.

“Suruhanjaya itu akan menyiasat sama ada prosedur itu mengikut garis panduan, selain syor penambahbaikan.

“Ia juga akan menyemak semula perkara berkaitan projek itu, seperti sama ada tapak itu di kawasan tanah landai atau lereng tinggi, dan adakah kuari berhampiran antara sebab utama kegagalan cerun sementara atau apa yang berlaku hanya kemalangan di tapak pembinaan.

“Suruhanjaya itu juga akan menentukan pihak-pihak yang bertanggungjawab atas kegagalan cerun binaan sementara dan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya pada sidang akhbar di Komtar, hari ini.

Ahli suruhanjaya itu ialah bekas presiden Majlis Peguam Yeo Yang Poh yang akan bertindak sebagai pengerusi suruhanjaya itu, pakar geoteknikal Dr Gue See Sew; dan Profesor Ramli Nazir dari Jabatan Geoteknik dan Pengangkutan Universiti Teknologi Malaysia.

Suruhanjaya bebas itu, yang ada bidang kuasa untuk memanggil sesiapa yang diperlukan untuk disoal siasat, ada masa tiga bulan untuk melengkapkan siasatan serta menyiapkan laporannya.

Lim berkata kerja-kerja tidak dibenarkan dibuat di tapak itu hingga siasatan awam siap.

Berhubung apa akan berlaku sekarang kepada mereka yang membeli unit di pangsapuri itu, Lim berkata ia terserah kepada pemaju untuk menyelesaikannya.

Kejadian tanah runtuh di tapak itu pada Sabtu lepas menyebabkan 10 pekerja asing dan seorang penyelia tapak warga Malaysia maut. – 25 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen