KETIKA kerajaan Pulau Pinang berterusan dikritik berkaitan pembangunan di tanah bukit, hari ini ia memberitahu Putrajaya supaya mengadakan garis panduan yang seragam di seluruh negara.
Exco Perumahan Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo berkata Putrajaya harus menetapkan had bagi pembangunan tanah bukit pada 76m di atas paras laut dan kecerunan 25 darjah.
Ia adalah had yang diikuti oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.
Garis panduan kebangsaan kerajaan Persekutuan membenarkan semua jenis pembangunan di atas bukit sehingga 300m di atas paras laut.
“Bagi menunjukkan keihklasan kerajaan Persekutuan dalam menangani isu pembangunan tanah bukit, Pulau Pinang mencadangkan polisi had 300m dikaji semula. Kurangkan kepada 76m seperti yang diikuti di negeri ini,” kata Jagdeep kepada pemberita pada sidang akhbar di Komtar hari ini.
Baru-baru ini Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mengkritik kerajaan Pulau Pinang di atas “kurang pengawasan” selepas berlaku kejadian tanah runtuh di Lembah Permai, Tanjung Bungah yang meragut nyawa 10 pekerja asing dan seorang penyelia tapak warganegara Malaysia.
Kementerian itu mempersoalkan tindakan kerajaan negeri membenarkan pembinaan perumahan mampu milik 50 tingkat di tapak itu, sedangkan Jabatan Alam Sekitar(JAS) telah menolak permohonan pemaju kerana ia terletak hampir dengan kuari tetap.
Kerajaan negeri membalas dengan berkata jabatan itu membenarkan dua projek di kawasan yang sama pada 2008 walaupun hampir dengan kuari.
Mengenai desakan supaya semua pembangunan di atas bukit dihentikan, Jagdeep berkata kerajaan negeri mengikuti polisi untuk tidak membenarkan projek di atas bukit melebihi 76m dari atas paras laut.
Beliau sekali lagi megulangi bahawa sejak pembangkang mengambil alih Pulau Pinang pada 2008, ia telah menolak 11 projek pemaju swasta di tanah melebihi 76m dari atas paras laut.
Dua projek kerajaan persekutuan di bawah program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) juga ditolak, kata Jagdeep.
Sebaliknya kata beliau, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini meluluskan 28 skim perumahan bertingkat di atas tanah melebihi 76m atas paras laut dari 1985 hingga 2008.
Bagaimanapun, Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow dalam satu kenyataan hari ini mempertikaikan dakwaan Jagdeep ynag kerajaan PH tidak akan membenarkan pembinaan projek seperti itu.
“Exco kerajaan negeri (Chow Kon Yeow) dalam jawapannya di Dewan Undangan Negeri pada November 2015 jlas mengatakan 56 projek melebihi 76m diluluskan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sejak 2008!
“MBPP adalah agensi di bawah Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.
Teng juga berkata kerajaan negeri dan dewan tempatan sepatutnya mempertimbangkan penolakan JAS kepada permohonan kebenaran merancang pemaju dua tahun lepas.
“Hakikatnya kerajaan negeri dan MBPP mengabaikan bantahan JAS, yang mana kepakarannya amat penting bagi mana-mana pembangunan sedemikian.
“Mereka cuba menipu rakyat dengan memberi alasan permohonan dua projek terdahulu mendapat kelulusan JAS sebagai asas untuk meluluskan projek malang itu.
“Malangnya, kerajaan negeri dan MBPP juga menyembunyikan kebenaran dan memaklumkan orang ramai garis panduan dan peraturan tentang alam sekitar di Pulau Pinang telah diperketat sejak beberapa tahun lepas, dan dua projek sebelum ini mungkin diluluskan di bawah peraturan berbeza yang ada pada masa itu,” katanya.
Terdahulu, Gerakan Pulau Pinang turut melahirkan kebimbangan penduduk Taman Lau Geok Swee berkenaan projek pangsapuri di lereng bukit di kawasan kejiranan mereka.
Projek di Paya Terubong terdiri daripada tiga blok pangsapuri 47 tingkat dan satu blok pangsapuri 41 tingkat.
Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata, susuln tanah runtuh di Lembah Permai, kerajaan negeri patut mempertimbangkan keselamatan projek di cerun bukit.
“Penduduk di Taman Lau Geok Swee bimbang kerana ada runtuhan tanah berdekatan rumah mereka pada Julai tahun ini,” katanya sambil menambah penduduk di situ sudah mengemukakan bantahan pada November 2015. – 25 Oktober, 2017.
Komen