Keluarga dan penyokong tahanan LTTE dakwa diancam polis


Noel Achariam

Pembantu peribadi Adun Gadek G Saminathan mendakwa beliau menerima panggilan telefon selepas memuat naik satu kenyataan berhubungan tahanan LTTE di Facebook. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 November, 2019.

AHLI keluarga dan penyokong tahanan yang terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) mendakwa menerima ancaman daripada polis.

Mereka mendakwa menerima panggilan telefon daripada anggota polis yang menuntut agar tidak mengadakan perhimpunan, aktiviti penyalaan lilin dan memuat naik apa-apa kenyataan berkaitan 12 tahanan di Facebook.

K Jayasutha yang merupakan pembantu peribadi Adun Gadek G Saminathan berkata beliau telah menerima panggilan telefon tiga minggu lalu mengenai satu muat naik di Facebook.

“Saya muat naik kenyataan di Facebook bahawa dia (Saminathan) bukanlah pengganas dan mengenai penyalaan lilin.

“Mereka meminta untuk tidak memuat naik apa-apa kenyataan dan mendakwa ia sudah viral serta meminta kami memadamnya.

“Mereka tidak memberitahu siapa mereka tetapi kami mengesyaki ia dari Cawangan Khas,” katanya ketika ditemui di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.

Bulan lepas seramai 12 individu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 Sosma kerana disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas LTTE. 

Mereka didakwa di mahkamah kerana menyokong kumpulan berkenaan dan ditahan di penjara Sungai Buloh.

Adun Seremban Jaya P Gunasekaran antara 12 yang ditahan.

Jayasutha berkata pihak yang menelefonnya juga bertanyakan mengenai penyalaan lilin di sebuah kuil di Melaka.

“Individu berkenaan mempersoalkan siapa yang hadir, siapa VIP dan siapa penganjur,” katanya.

Beliau berkata dia menerima panggilan itu sekali dan kira-kira empat penyokong yang lain juga menerima panggilan sama.

“Mereka juga berkata kita tidak boleh menjemput orang di Facebook untuk menyertai aktiviti kami.

“Mereka memberi bayangan jika kami berbuat demikian kami akan berdepan masalah,” katanya. – 25 November, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen