POLIS tidak menemui rakaman CCTV menunjukkan suspek pembunuhan Kim Jong-nam iaitu Doan Thi Hong dan Siti Aisyah berlatih meracun warga Korea Utara itu dengan bahan kimia di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur seperti yang dikatakan pihak pendakwa.
Pegawai Penyiasat ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz memberitahu Tinggi Shah Alam hari ini bahawa pihak polis tidak menemui rakaman CCTV kedua-dua suspek atau sebarang aktiviti mencurigakan.
Azirul berkata, polis telah meneliti rakaman di sekitar KLCC pada 5 Januari, Stesen KL Sentral dan pejabat Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) berdekatan pada 7 Januari, serta Hotel DobleTree pada 9 Januari.
Tiada rakaman di Hotel Mandarin Oriental pada 9 hingga 12 Januari kerana hotel itu sedang melakukan pengubahsuaian ketika itu, katanya.
“Saya dapati tiada penglibatan suspek atau pergerakan mereka melakukan perbuatan itu,” kata Azirul kepada mahkamah.
Tarikh dan lokasi didakwa latihan itu dilakukan, kata Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata selepas sesi pagi.
Doan, 28 dan Siti, 25, yang didakwa membunuh adik kepada Presiden Korea Utara, Kim Jong-un berkata mereka percaya mereka terlibat dalam sebuah rancangan usikan (prank) televisyen.
Mereka berkata mereka ditunjuk ajar oleh empat lelaki melakukan perbuatan itu melalui beberapa latihan di sekitar Kuala Lumpur.
Mahkamah juga diberitahu empat pasport ditemui bersama Jong-nam. Wan Shaharuddin kemudian memberitahu pemberita yang semuanya adalah warga Korea Utara, bernama Kim Chol. Tambahnya lagi, gambar pada tiga pasport adalah “versi lebih muda” pembawa pasport. Mahkamah setakat ini merujuk kepada nama Kim Jong-nam.
Azirul memberitahu mahkamah yang dia membuat salinan pasport Kim Chol sebelum diserahkan kepada kedutaan Korea Utara. Mayat Jong-nam dikembalikan ke Pyongyang pada 31 Mac sebagai pertukaran dengan pasukan kedutaan Malaysia di sana.
Hakim Azmi Ariffin menolak bantahan peguambela apabila pasport Jong-nam dimasukkan sebagai bahan bukti.
Kata Azirul, rekod dari Jabatan Imigresen juga menunjukkan Kim Chol memasuki Malaysia melalui klia2 pada 6 Februari.
Rekod imigresen hanya menunjukkan Siti memasuki negara ini melalui klia2 pada 21 Januari, manakala Doan pula pada 4 Februari melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), katanya.
Azirul mengatakan pada 16 Februari polis menahan Ri Jong-chol, seorang warga Korea Utara, iaitu dua hari selepas kematian Jong-nam. Katanya, rakaman CCTV menunjukkan sebuah kereta Naza Ria kelabu didaftarkan di bawah nama Ri, membawa dua suspek lelaki tidak bernama ke lapangan terbang.
Azirul juga mengesahkan penangkapan teman lelaki Siti, Muhammad Farid Jalaluddin pada hari yang sama.
Sampel DNA dari darah, kuku dan rambut kedua-dua wanita itujuga diambil pada hari yang sama di Hospital Putrajaya.
Seorang pakar dari Jabatan Kimia memberi keterangan yang Jong-nam meninggal dunia pada 13 Februari kerana terdedah kepada agen saraf VX.
Sementara itu, mahkamah tegang apabila Shaharuddin menyangkal bantahan pendakwa mengenai pemerikasaan balasnya dengan Azirul.
Shaharuddin bertanya kepada Azirul jika laluan yang diambil pada lawatan terbuka semalam boleh dibandingkan dengan hari Jong-nam ditemui mati.
Pihak pendakwa membantah perkataan “serangan” yang digunakan dalam pemeriksaan balas itu.
“Bagaimana kita boleh bandingkan (ia) dengan 13 Februari? Anda mesti bandingkan jumlah orang ramai,” kata peguam utama Siti, Gooi Soon Seng.
“Mereka tak boleh nak ajar saya bagaimana nak jalankan tugas saya,” jawab Shaharuddin.
Peguam Naran Singh yang mewakili Doan membalas balik, “Anda seorang pendakwa, bukan penindas.”
“Cukup, saya kata cukup,” kata Azmi. “Saya buat ketetapan pada hari itu berkenaan perkataan serang. Saya akan membuat kesimpulan dipenghujung hari ini. Ia akan bergantung kepada rakaman CCTV dan kenyataan saksi. Itu sahaja saya nak beritahu.” – 25 Oktober, 2017.
Komen